ADUN melalui pasukan sukarela setuju bekal lampin selama setahun

Admin

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang melalui pasukan sukarelawan beliau bersetuju  membekalkan lampin pakai buang selama setahun mulai Oktober ini kepada Yusmalena Mohd. Yusof, 34 yang hilang upaya kekal (kerosakan otak) akibat kemalangan sembilan tahun lalu.

“Ini melalui hasil lawatan yang kami buat baru-baru ini dan mendapati isteri kepada Izam Shahril Musa, 37 tahun menderita kecederaan di otak sejak sembilan tahun lalu akibat kemalangan di Ayer Itam, Kedah.

“Begitu sedih melihat keadaan beliau dan melalui pasukan sukarelawan saya, kita akan bantu… untuk susu memang kita tidak mahu janji perkara yang kita tidak mampu tolong namun untuk hari ini kita serahkan sebanyak 10 tin kepada keluarga ini,” ujar beliau ketika menyantuni keluarga tersebut di 36R, Jalan Zoo, Air Itam baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Rohaizat Hamid dan Ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Izam Shahril ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihan Soon Siang yang sudi membekalkan lampin pakai buang selama setahun.

“Cuma susu itulah mahal sikit, saya pula tidak bekerja kerana ambil tanggungjawab menjaga isteri saya yang sudah terlantar selama sembilan tahun,” jelasnya yang pernah bekerja sebagai posmen sebelum ini.

Bagi yang ingin membantu keluarga Izam Shahril untuk mendapatkan katil khas atau lain-lain, boleh menghubungi beliau di talian 013-5383716.

Difahamkan isterinya memerlukan satu tin susu dalam masa dua hari berikutan keadaannya yang tidak mampu menjamah sebarang makanan.

Susu pula terpaksa dimasukkan menggunakan tiub khas yang ditebuk melalui perut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN