ADUN nasihatkan orang ramai elak buang puntung rokok sembarangan susulan kebakaran hutan

Admin
zkj

TANJUNG BUNGA – Kebakaran hutan di kawasan bukit berhampiran pangsapuri Surin Residence, Solok Tanjung Bungah di sini pada 7 Mac lalu telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh sepasukan anggota bomba.

 

Berdasarkan laporan media, pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar jam 3 petang dan dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal serta Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.

 

Dalam satu kenyataan pada hari kejadian, kebakaran tersebut melibatkan kawasan hutan di atas bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 1.21 hektar, terletak sekitar dua kilometer dari kaki bukit.

 

Keadaan itu memaksa anggota bomba mendaki ke lokasi kejadian sambil membawa peralatan pemadaman kerana tiada laluan kenderaan ke kawasan tersebut.

 

Selain itu, unit dron bomba turut digunakan bagi melakukan pemantauan udara untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

 

Pihak bomba turut memaklumkan bahawa tiada mangsa dilaporkan terlibat dan kebakaran berjaya dikawal pada malam kejadian.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari, ketika dihubungi sebentar tadi berkata, hasil siasatan awal pihak bomba mendapati keadaan cuaca panas dan kering berkemungkinan menjadi antara punca kejadian.

 

Berdasarkan siasatan pihak bomba, kejadian dipercayai berpunca daripada cuaca panas serta keadaan persekitaran bukit yang kering, walau bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut,” katanya yang juga Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital.

 

Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama ketika melalui kawasan yang mempunyai rumput dan pokok kering.

 

Disebabkan faktor cuaca kering ini juga, saya berharap orang ramai lebih berhati-hati terutamanya bagi perokok agar mereka tidak membuang puntung rokok sembarangan apabila melalui kawasan rumput dan pokok kering,” tambahnya.