ADUN pertahan syor kenaan caj kenderaan ‘luar’ atasi kesesakan trafik Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Penyokong Kerajaan Negeri, Jason Ong Khan Lee mempertahan cadangannya supaya semua kenderaan yang tidak berdaftar di Pulau Pinang tetapi masuk ke negeri ini, wajar dikenakan caj.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga berkenaan turut mengaku bahawa cadangannya telah menggamit pertikaian banyak pihak terutama di media sosial, kerana dianggap tidak praktikal.

“Dengan membina lebih banyak jalan tidak akan menyelesaikan cabaran kesesakan trafik… cadangan saya ini juga untuk mengurangkan kesesakan… walaupun langkah terbaik adalah Pulau Pinang perlu ada lebih banyak jajaran monorel.

“Plat kenderaan yang bermula huruf J tidak semestinya dimiliki oleh orang Johor, mungkin orang Pulau Pinang kerana pangkal nama bermula huruf J… perlu sistem pengenalan untuk kenal pasti kenderaan yang berlambak masuk ke (bahagian) pulau.

“Dengan menggunakan RFID (sistem pengenalan kenderaan melalui frekuensi radio), kenderaan warga Pulau Pinang atau yang bekerja di Pulau Pinang boleh dikecualikan daripada surcaj ini,” jelasnya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 15 November 2018.

Justeru, menurut Khan Lee, Pihak Berkuasa Negeri perlu mempertimbang pelaksanaan kaedah kawalan trafik secara pintar, seperti kenaan sistem levi atas kenderaan ‘terpilih’ di negara Singapura dan China.

  1. Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
    Gambar : ALISSALA THIAN