ADUN peruntuk lebih RM30,000 naik taraf empat pili bomba tambahan

Admin

BATU UBAN – Sebagai langkah keselamatan sebanyak empat pili bomba tambahan akan dinaiktaraf dekat perkampungan Lorong Sungai Dua hujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), A. Kumaresan ketika ditemui hari ini berkata, keputusan itu dibuat susulan maklum balas daripada pihak Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) selepas kejadian dua kes kabakaran di kampung berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan dua kelemahan yang dimaklumkan kepada beliau ialah kekurangan pili bomba dan sistem pendawaian elektrik yang telah usang hampir 30 tahun.

“Di sini hanya ada empat sahaja pili bomba dengan kepadatan penduduk hampir 300 orang.

“Kebarangkalian untuk berlaku kebakaran amat tinggi kerana kampung ini bukan sahaja terdiri daripada perumahan tetapi terdapat juga kilang papan, kilang perabot, gudang pakaian, bengkel baiki motor dan sebagainya yang telah berusia hampir 30 tahun,” ujarnya.

Kumaresan sebelum itu meluangkan masa meninjau longkah roboh di kampung berkenaan yang dipercayai berpunca daripada kejadian ribut baru-baru ini.

Justeru itu, hasil daripada perbincangan yang diadakan bersama-sama penduduk setempat, Bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini, Kumaresan telah menyatakan kesudian beliau untuk memperuntukkan lebih RM30,000 bagi menaiktaraf empat pili bomba berkenaan.

“Tanah (kampung) ini merupakan tanah TOL (lesen pendudukan sementara) iaitu milik kerajaan, oleh itu pihak Bomba tidak boleh keluarkan peruntukan mereka untuk menambah jumlah pili sedia ada.

“Kita telah pilih beberapa lokasi strategik… juga menghantar sepucuk surat kepada Bomba untuk mendapatkan nasihat mereka dan selepas itu konsultan akan dilantik.

“Mereka (konsultan) akan membuat kajian dan berurusan dengan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk kerja-kerja pemasangan paip dan sebagainya,” ujar beliau.

Difahamkan, dia kejadian kebakaran yang berlaku dalam tempoh dua bulan berkenaan melibatkan sebuah rumah dan gudang pakaian.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD