ADUN peruntuk RM10,000 sumbang 33 buah tablet

Admin

BUKIT MERTAJAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng memperuntukkan sejumlah RM10,000 bagi menyumbang 33 buah tablet untuk kegunaan pelajar yang memerlukan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan baru-baru ini.

Chong Eng berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada program ‘Asal Cek Mau Pi Sekolah’ yang dilancarkan oleh Pejabat Parlimen Bukit Mertajam.

“Oleh kerana permohonan yang diterima Pejabat Parlimen Bukit Mertajam melalui program tersebut amat memberangsangkan, jadi saya telah mengeluarkan peruntukan berjumlah RM10,000 bagi membeli tablet (33) ini dan disumbangkan kepada pelajar sekolah rendah yang memerlukan di kawasan ini.

“Pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Padang Lalang telahpun mengenal pasti 25 nama pelajar layak daripada keseluruhan 70 keluarga dan diharap kita dapat mengenal pasti lebih ramai pelajar yang memerlukan lagi,” ujarnya pada majlis penyerahan tablet yang berlangsung di Dewan Taman Kota Permai pada 17 April lalu.

Hadir sama, barisan kepimpinan MPKK, ibu bapa dan para pelajar.

Mengulas lanjut, Chong Eng yang juga Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam berharap pemberian tablet tersebut akan memudahkan para pelajar untuk menelaah pelajaran dan menyiapkan tugasan.

“Meskipun sekolah telah dibuka namun kerana pandemik ini masih belum reda, berkemungkinan pelajar akan kembali menjalani sesi pembelajaran di atas talian, justeru diharap pemberian ini sedikit sebanyak membantu sesi pembelajaran masing-masing,” ujarnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LEE JIA YING