ADUN puji langkah pemutihan pusat jagaan kanak-kanak

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim memuji inisiatif Kerajaan Negeri membantu memudah cara proses pusat jagaan kanak-kanak, taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) bukan kerajaan mendapatkan sijil perakuan berwajib daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 14 Oktober 2020.

Menurutnya, langkah pemutihan yang dilakukan itu bukan sahaja akan membantu para pengusaha berkaitan, bahkan turut meningkatkan tahap jaminan keselamatan anak-anak di pusat-pusat jagaan kendalian swasta.

“Saya menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri membantu memudah cara proses pemutihan dan pendaftaran taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang untuk mendapatkan perakuan pendaftaran demi keselamatan kanak-kanak dan penghuni.

“Kerajaan (Negeri) telah menawarkan diskaun sebanyak 90 peratus terhadap caj tukar guna bangunan kepada semua pengusaha tadika, taska dan pusat jagaan yang beroperasi (tanpa kebenaran berwajib) sebelum 15 September 2017 sehingga 30 Jun 2020,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut memuji langkah Kerajaan Negeri menawarkan pakej pengecualian seperti fi sumbangan tempat letak kereta, penanaman pokok dan sebagainya kepada 250 taska, tadikan dan pusat jagaan kanak-kanak yang menyertai program pemutihan tersebut.

Menurutnya, ketika pandemik COVID-19 masih berlaku, langkah pengecualian yang ditawarkan itu sangat membantu operasi para pengusaha berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS