ADUN puji semangat komuniti wujudkan Pasukan CERT setempat

Admin

SERI DELIMA – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Island Glades, Island Park dan Jalan Aquarium berhasrat untuk menubuhkan Pasukan Sukarelawan Community Emergency Response Team (CERT) bagi memudahkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku sebarang bencana di komuniti masing-masing.

Hasrat tersebut disuarakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid yang menyambut baik usaha ketiga-tiga MPKK tersebut.

“Di (KADUN) Seri Delima memang sudah ditubuhkan Pasukan CERT dan permintaan ketiga-tiga MPKK ini sangat dipuji kerana mampu membantu menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Saya berharap dengan pertambahan Pasukan CERT di kawasan komuniti di sini akan membolehkan bantuan awal diberi sebelum tibanya pasukan penyelamat di tempat kejadian,” ujarnya dalam suatu kenyataan kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Difahamkan, borang permohonan penubuhan pasukan telah diserahkan kepada wakil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Daerah Timur Laut) pada penganjuran gotong-royong di Taman Jepun di sini.

Dalam perkembangan lain, Syerleena turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan gotong-royong.

“Gotong-royong ini bertujuan untuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes dalam memastikan lokasi riadah di sini selamat di samping menceriakan persekitaran setempat.

“Seramai 50 tenaga kerja terlibat antaranya dari MPKK setempat serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran),” katanya.

Turut berlangsung, demonstrasi pertolongan cemas, pertandingan mewarna dan pengedaran ‘abate’ secara percuma.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN