ADUN Pulau Betong suburkan semula tradisi makan dalam talam, eratkan silaturahim

Admin
TRADISI lama yang kian dilupakan.

PULAU BETONG – Menikmati makanan yang dihidangkan di dalam talam beramai-ramai mungkin kedengaran agak unik dan janggal namun ia merupakan tradisi yang kian dilupakan kini.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, tradisi makan dalam talam atau lebih dikenali sebagai nasi talam merupakan salah satu cara lama untuk mengeratkan silaturahim.

Justeru, untuk mengekalkan tradisi ini, usai solat Jumaat di Masjid Simpang Empat tadi, para jemaah dihidangkan dengan nasi talam.

“Kenduri makan nasi talam ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Empat dengan kerjasama pemuda Kariah Masjid Simpang Empat.

“Bukan sahaja dapat menyuburkan semula tradisi lama (nasi talam) tetapi juga dapat mengeratkan silaturahim sesama anak kariah dan penduduk setempat,” ujarnya ketika ditemui di sini.

MOHD. Tuah (duduk, dua dari kanan) bersama-sama jemaah lain menikmati nasi talam sejurus solat Jumaat tadi.

Para Penghulu Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya antara yang hadir memeriahkan kenduri nasi talam ini.

Sebelum itu, Mohd. Tuah menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Roh Yang Tergantung‘ di hadapan lebih 200 jemaah yang hadir.

Antara intipati khutbah adalah soal wajibnya membayar hutang.

“Sejak tahun 2010 sehingga April 2015, seramai 107,000 individu diisytiharkan muflis dan 23, 484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun.

‘Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengahwinkan anak perempuan apabila telah dipinang orang,” jelasnya.

 

Teks & Gambar : IDZHAM AHMAD