Kasthuriraani ziarah kanakkanak mangsa dera

PERAI – Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai didera ibu kandung di rumah dekat Kampung Manis di sini kian stabil, selepas menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya baru-baru ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani berharap rawatan dan pemerhatian daripada doktor pakar mampu memulihkan sepenuhnya perasaan trauma mangsa.

“Saya akan cuba membantu mangsa sedaya mungkin agar mangsa dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan terhadap kanak-kanak berkaitan di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji tindakan jiran yang segera menghubungi polis apabila terlihat kanakkanak berkenaan didera.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan dalam kenyataan berasingan dilaporkan berkata, kanakkanak itu akan menerima rawatan di hospital sehingga sembuh, sebelum diserahkan kepada datuk dan neneknya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau memberitahu, mangsa dilihat semakin stabil dan pulih selepas menerima rawatan di sini.

Tambah Thaiveegan, polis akan mendapatkan laporan perubatan kanakkanak itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan, sebelum menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Said Sidup dilaporkan berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, mangsa akan ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Taman Bakti Kanak-kanak dekat Kepala Batas, selepas dibenarkan keluar dari hospital, sebelum pihaknya membenarkan anggota keluarga menjaga beliau.

Terdahulu, mangsa terselamat dari deraan (dipercayai) ibu kandung pada 2 Februari lalu, selepas jiran menghubungi polis.

Polis menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami kecederaan di belakang badan, lebam pada kelopak mata kiri, dua batang gigi tengah retak dan longgar serta terdapat kesan calar pada ibu jari kanan.