ADUN sedia pinjaman oximeter dan agihan kit ujian kendiri COVID-19 percuma

GEORGE TOWN – Bagi memastikan kehidupan rakyat di negeri ini sentiasa selamat, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pinjaman alat saringan oksigen (oxygen concentrators) kepada mereka yang memerlukan.

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong.

Selain pinjaman alat saringan oksigen, mereka turut mengagihkan kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma khas kepada golongan berpendapatan rendah (B40) selepas mengambil kira kes positif di negeri ini yang semakin meningkat sejak dua bulan lalu.

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata bahawa sebanyak 2,000 set kit ujian kendiri disediakan kepada penduduk yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, sebanyak 2,000 set kit ujian kendiri disediakan dan akan diagihkan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

“Pusat Khidmat KADUN Batu Lancang telah melancarkan sumbangan kit ujian COVID-19 percuma kepada penduduk dalam kategori B40 di kawasan ini yang disahkan positif jangkitan dan menjalani kuaratin di rumah.

“Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang disahkan bergejala, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan supaya mereka boleh melakukan ujian sendiri di rumah.

“Syaratnya sangat mudah iaitu mereka yang berkaitaan cuma perlu menunjukkan bukti menerusi paparan status pada aplikasi MySejahtera,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Beliau berkata, bagi golongan B40 yang tidak mempunyai simptom tetapi hendak melakukan ujian di rumah, mereka juga boleh membeli kit ujian kendiri tersebut dengan harga subsidi iaitu hanya RM10 seunit.

ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

“Sila hubungi pejabat saya melalui talian WhatsApp KADUN Batu Lancang di talian 010-8744308 dan mereka tidak perlu datang ke pusat khidmat kerana petugas saya akan menghantar kit ujian ini ke rumah,” ujarnya lagi.

Ah Teong berkata, Pusat Khidmat KADUN Batu Lancang turut menyediakan perkhidmatan pinjaman pulse oximeter bagi membantu mereka yang dijangkiti untuk mengawal dan mengawasi bacaan penafasan semasa menunggu ketibaan petugas KKM.

“Disebabkan kes-kes positif COVID-19 di negeri ini masih tinggi, maka KKM pastinya akan mengambil masa untuk tiba di rumah pesakit.

“Justeru, mereka yang disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuaratin di rumah boleh menghubungi saya untuk meminjam alat pulse oximeter.

“Namun begitu, bagi mereka yang mengalami masalah sesak nafas atau bacaan oximeter menunjukkan kurang daripada 95 hendaklah terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan perubatan segera,” jelasnya lagi.

Turut menyediakan perkhidmatan yang sama ialah ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Beliau berkata, skim pinjaman alat pulse oximeter sebanyak 50 unit tersebut adalah disediakan adalah khusus untuk kepada pesakit yang positif COVI-19 dalam kawasan KADUN Air Itam.

“Keadaan pandemik COVID-19 semakin serius ketika ini, dan pulse oximeter menjadi alat yang semakin penting bagi mengawal dan mengawasi bacaan penafasan tertutamanya untuk pesakit yang menjalani kuaratin di rumah.

“Oleh itu, saya merasakan bahawa kami perlu menyusun strategi untuk membantu mereka yang disahkan positif dan perlu menjalani kuarantin di rumah dengan menyediakan pinjaman alat oximeter.

“Melalui inisiatif ini, kami dapat memastikan jumlah mereka yang menjalani kuarantin di rumah sekali gus dapat mengawal perebakan COVID-19 di kawasan Air Itam.

ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

“Oleh hal demikian, sekiranya ada penduduk dalam KADUN Air Itam disahkan positif dan diarahkan menjalani kuaratin di rumah yang memerlukan alat oximeter, sila hubungi Pusat Khidmat KADUN Air Itam di talian 016-421 9143/04-829 9143,” ujarnya.

Bagi kit ujian kendiri COVID-19 pula kata Soon Siang, bantuan tersebut disediakan secara percuma kepada penduduk yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 yang diarah menjalani kuarantin di rumah.

Katanya, Pusat Khidmat KADUN Air Itam telah meyediakan lebih 1,000 unit kit ujian kendiri COVID-19 bagi tujuan tersebut.

“Namun begitu, kit ujian ini adalah terhad kepada lima set sahaja untuk setiap isi rumah.

“Selain itu, bagi golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi hendak melakukan ujian sendiri, mereka boleh membeli kit ini pada harga subsidi iaitu hanya RM10 sahaja,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, ADUN Komtar, Teh Lai Heng juga berkata bahawa penduduk KADUN Komtar yang disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuaratin di rumah boleh menghubungi Pusat Khidmat di talian 04-2277068 atau 016-2706808 untuk meminjam alat pulse oximeter.

“Alat ini penting untuk memeriksa dan menilai tahap sistem pernafasan semasa menunggu ketibaan petugas KKM.

“Sesiapa yang mengalami masalah sesak nafas atau bacaan oximeter kurang daripada 95, anda hendaklah terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera,” serunya.

Selain pulse oximeter kata Lai Heng, Pusat Khidmat KADUN Komtar turut menyediakan 1,000 kit ujian kendiri COVID-19 secara percuma kepada penduduk yang disahkan positif dan perlu menjalani kuaratin di rumah.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

“Kit ini akan diberikan kepada individu atau ahli keluarga yang melakukan ujian sendiri di rumah.

“Mereka yang diberi keutamaan adalah kes yang disahkan bergejala, kes suspek, kontak rapat dan individu dalam pemantauan.

“Sila hubungi pejabat saya di talian 04-227  7068 atau 016-270 6808 dan tidak perlu datang ke Pusat Khidmat kerana pasukan saya akan menghantar kit ujian ini ke rumah masing-masing,” jelasnya.

ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim turut menyediakan kedua-dua bantuan berkaitan demi keselamatan rakyat di kawasan berkenaan.

“Sekiranya ada penduduk atau keluarga di kawasan Sungai Pinang yang disahkan positif COVID-19 yang memerlukan alat oximeter dan kit ujian kendiri COVID-19 boleh menghantarkan pesanan melalui WhatsApp di talian: 010-382 4483.

“Sesiapa yang mengalami masalah sesak nafasan atau bacaan oximeter menunjukkan tahap kurang daripada 95, hendaklah menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan perubatan segera,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS