ADUN serah sumbangan imarahkan Masjid Jamek Sungai Gelugor

Admin
SYERLEENA Abdul Rashid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nur Aina Fatehah Roslan yang cemerlang dalam SPM tahun lepas.

SERI DELIMA – Dalam mengimarahkan aktiviti di Masjid Jamek Sungai Gelugor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memperuntukkan RM24,750 bagi keraian kenduri rakyat setiap Khamis minggu ketiga setiap bulan.

Jelasnya, jumlah tersebut merupakan peruntukkan untuk setahun yang mana lazimnya setiap Khamis umat Islam akan mengadakan majlis bacaan yasin selepas solat maghrib.

“Malam Jumaat biasanya pengunjung masjid lebih ramai, jadi saya putuskan untuk serah sedikit sumbangan buat program ini dan pada masa sama mampu eratkan silaturahim sesama anak kariah di Sungai Gelugor ini.

“Selain itu, baru-baru ini pihak saya turut menyumbangkan 15 tan tanah bernilai RM7,550 untuk menambun kawasan perkuburan Islam Sungai Gelugor yang didapati sedikit mendap,” ujar beliau dalam satu sidang media ringkas, semalam.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor; Pengerusi Masjid Sungai Gelugor, Mohd. Ali Mohd. Yusof dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sungai Gelugor, Merasik Jabbar.

Tambah Syerleena pengimarahan Masjid Jamek Sungai Gelugor juga amat penting memandangkan lokasinya yang strategik dan sering menjadi persinggahan jemaah dari luar kawasan ini sebab dekat dengan jalan utama, justeru aktiviti di sini sememangnya selalu meriah dan dikenali umum.

Sementara itu, Mohd. Ali dan Merasik dalam sidang media sama merakamkan ucapan terima kasih kepada Syerleena yang sudi memberikan sumbangan tersebut dalam memeriahkan aktiviti di masjid berkenaan.

Kedua-dua individu penting terbabit turut mensasarkan Jawatankuasa Masjid dan MPKK untuk terus bekerjasama dengan Pejabat ADUN Seri Delima dalam menjayakan program-program kebajikan setempat.

Selain kenduri rakyat, Syerleena turut meraikan dua pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kariah Kampung Sungai Gelugor.

Salah seorang daripadanya, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Nur Aina Fatehah Roslan, 18,  ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dengan sumbangan atas kecemerlangan tersebut sungguhpun jumlahnya cuma RM300.

“Seronoklah dapat duit ini lagipun tak sangka Y.B (Syerleena) nak bagi duit ini sebagai ‘hadiah’ kejayaan 8A SPM tahun lepas.

“Buat masa ini saya ada mohon UPU (kemasukan ke universiti) tetapi sementara itu saya akan masuk Tingkatan Enam dahulu dalam masa terdekat,” ujar Nur Aina Fatehah yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI