ADUN seru penduduk Machang Bubuk waspada, hapuskan tempat pembiakan aedes

LEE Khai Loon (berkemeja hijau) menyampaikan sumbangan ihsan kepada Mohd. Rafi dalam satu pertemuan ringkas hari ini.

MACHANG BUBUK – Berikutan peningkatan yang sangat ketara bagi wabak demam denggi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Machang Bubuk, ADUNnya, Lee Khai Loon meminta masyarakat setempat agar lebih berwaspada.

Menurut Khai Loon, pada tahun 2017 wabak denggi bagi kawasan berkenaan cuma 100 kes sahaja, namun ianya meningkat secara mendadak pada tahun 2018 kepada 460 kes.

“Dukacitanya ingin saya maklumkan juga, bahawa arwah adik Muhammad Farish Mohd. Rafi, 13, telah menjadi korban pertama wabak denggi ini di kawasan ini pada 7 Januari lalu.

“Saya difahamkan dia (Muhammad Farish) mula dikesan mengalami demam sejak 4 Januari lalu sewaktu tinggal bersama bapa saudaranya di Taman Machang Bubuk, keadaannya semakin teruk pada 7 Januari hingga tidak sedarkan diri dan meninggal pada tarikh tersebut.

“Jadi hari ini saya datang berjumpa ayahnya, Mohd. Rafi untuk menyampaikan sedikit sumbangan ihsan kepada keluarga mangsa,” ujar Khai Loon dalam satu kenyataan media hari ini.

Serentak dengan itu, Khai Loon turut menyeru masyarakat setempat bergotong-royong menghapuskan semua tempat yang menjadi risiko pembiakan aedes.

“Pada 15 Januari nanti, satu Mesyuarat Khas Pencegahan Denggi akan diadakan di Pusat Khidmat Machang Bubuk dekat Pusat Perniagaan Alma.

“Semua penduduk dijemput hadir terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Pejabat Daerah dan Tanah SPT serta agensi-agensi kerajaan akan turut serta,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN