ADUN syor PBT timbang usul infrastruktur komprehensif

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey baru-baru ini mengemukakan cadangan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil kira beberapa prinsip komprehensif pembangunan infrastruktur dalam penyediaan Bajet 2015.

“Bukan sahaja hanya memberi tumpuan terhadap penyediaan kemudahan-kemudahan awam, PBT juga wajar memahami kehendak orang awam dan merancang pembangunan infrastruktur yang berkesan ke arah sebuah negeri paling sesuai didiami.

“ Berkesan bermakna kemudahan yang akan dibangunkan perlu menumpukan kepada kehendak orang awam (people-centric) termasuk mengambil kira sumber jana ekonomi sesebuah komuniti dalam sesebuah kawasan,” katanya dalam sidang media di sini barubaru ini.

Tegasnya, PBT tidak kira sama ada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mahupun Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) perlu melaksanakan proses perundingan telus dengan rakyat, organisasi tempatan dan sektor swasta dalam mencapai kata sepakat untuk pembangunan setempat.

“Penglibatan PBT dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan adalah penting terutama dalam mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni.

“Ini termasuk melaksanakan pendekatan menyeluruh pelan tindakan LA21 (Local Agenda 21) dalam projek-projek pembangunan komuniti,” jelasnya.

Soo Huey yang mengambil contoh kawasan di Pulau Tikus, mencadangkan supaya PBT mempertimbangkan tiga usul pembangunan infrastruktur.

“Pertama, menyediakan kawasan pemunggahan sesuai dan lengkap dengan fasiliti untuk membolehkan para peniaga di pasar-pasar awam memunggah muatan.

“Ini kerana, para peniaga kini terpaksa menghentikan lori muatan di bahu-bahu jalan yang adakalanya menyekat laluan sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas,’’ tegasnya yang turut mencadangkan supaya menyediakan ruang khas bagi menurunkan penumpang atau pengunjung berdekatan pasar-pasar awam di sini.

Kedua, Soo Huey menyeru MPPP supaya lebih prihatin terhadap kemudahan untuk golongan kurang upaya (OKU) termasuk di pasar-pasar awam, laluan pejalan kaki, taman-taman mahupun lintasan pejalan kaki.

“Sungguhpun lintasan pejalan kaki ada di pekan Pulau Tikus, tetapi jaraknya jauh dari kemudahan-kemudahan asas seperti kedai dan pasar basah.

“Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan golongan OKU untuk bergerak, tetapi juga wanita dan kanak-kanak yang ingin ke pasar basah atau kedai di sini,” jelasnya.

Ketiga, beliau berharap agar MPPP tidak hanya mendengar ‘keluhan’ masyarakat ketika penyediaan bajet tahunan, sebaliknya, mengambil peduli akan aduan masyarakat setempat dari masa ke masa.

“Semua usul-usul ini telahpun dikemukakan kepada MPPP dan saya amat berterima kasih kepada MPPP kerana buat julung kalinya, suara ADUN turut didengar dalam penyediaan Bajet 2015,” kata beliau.