Konsert amal bantu dua rumah kebajikan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – The Jammin’ Senzation Conservatory of Performing Arts & Music (Jammin’ Senzation) kembali lagi buat tahun ke-tujuh dalam penganjuran konsert amal bagi mendapatkan dana tambahan untuk rumah-rumah kebajikan di Pulau Pinang.

Konsert yang akan berlangsung pada 12 Julai ini di Dewan Sri Pinang di sini mensasarkan kutipan dana tambahan bagi dua rumah kebajikan iaitu Rumah Shalom dan Persatuan Kanak-kanak Cerebral Palsy (Spastik) Pulau Pinang. Bertemakan ‘ELEMENTS – Nature Music’, konsert tersebut bakal menampilkan beberapa barisan artis tempatan dan luar negara antaranya, penyanyi opera dari Melbourne, Australia, Melanie Maslin, kumpulan jaz, John Dip Silas City Trio, dan LKA Connection, Penang Dhol Blasters serta penyanyi versatil, Mary Jackson, Renaldo Scully dan Lezil Hendricks.

Selain itu, Jammin’ Senzation dan Fresh Beat Dance Academy juga bakal menjayakan konsert amal berkenaan Pengarah merangkap Pengetua Jammin’ Senzation, Jasmin Khor berkata, objektif utama konsert tersebut adalah bagi mengumpul dana tambahan bagi dua buah rumah kebajikan terpilih.

Sejak 2008, jelasnya, Jammin’ Senzation telah membantu mengumpul dana bagi beberapa buah rumah kebajikan antaranya, Persatuan Sindrom Down Pulau Pinang, Persatuan Kanser Kebangsaan, Rumah St. Nicholas, Rumah Shammah, Persatuan Perlindungan Kanak-kanak Malaysia, Rumah Kanak-kanak Shan dan Bold Association for Children with Special Needs.

“Kami mensasarkan jumlah kutipan yang memberangsangkan memandangkan 100 peratus daripada hasil jualan tiket dan sumbangan akan disalurkan terus kepada kedua-dua rumah kebajikan terpilih berkenaan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Setiausaha Agung Spastik, Ong Siew Guat dan wakil Rumah Shalom, Charles Tan.

Tiket boleh didapati menerusi pejabat Jammin’ Senzation di 4-M Jalan Masjid Negeri, 11600 Green Lane atau di pejabat cawangan No. 1 Jalan Desiran Tanjung 5, 10470 Tanjong Tokong atau hubungi talian 012 – 478 3966 / 012 – 430 5120 / 04 – 659 5122. Tiket dijual pada harga RM30, RM50 dan RM100.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman Facebook Page, Jammin’ Senzation.