Rashid sangkal dakwaan prinsip CAT sudah mati

Admin

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyangkal dakwaan pihak pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) kononnya prinsip CAT (Cekap, Akauntabel dan Telus) yang didokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2008 sudah mati.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ketiga Belas di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Rashid, Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini masih lagi mendokong prinsip CAT sejak mengambil alih tampuk pentadbiran.

“Malah, Tuan Yang Terutama Tun (Dr. Abdul Rahman Abbas, Yang Di- Pertua Negeri, TYT) turut berbangga dengan pencapaian negeri Pulau Pinang sejak sembilan tahun lalu.

“Isu CAT telah mati tidak benar sebagaimana dilaungkan pembangkang kerana Tun (TYT) ketika ucapan perasmian sidang Dewan Undangan Negeri pada 19 Mei lalu, dua kali menyebut bahawa semua pencapaian tidak mungkin tercapai tanpa pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) dan kepimpinan bersih yang diterapkan dalam tatakelola Kerajaan Negeri.

“Urus tadbir CAT membuahkan kejayaan apabila lebihan bajet sebanyak RM573 juta dicatatkan dalam tempoh lapan tahun dari tahun 2008-2015.

“Maka, CAT telah mati adalah tidak benar,” tegasnya.