Afif syor wujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) dalam menjadikan perkhidmatan kesihatan lebih efisien

Admin
DR. Afif Bahardin meneliti salah satu jenis durian yang dihidangkan kepada pihak media dekat Pusat Agro Pelancongan Relau.

PAYA TERUBONG – Cadangan agar mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) perlu diteliti bagi menjadikan perkhidmatan bidang kesihatan lebih efisien kepada rakyat.

Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin menyatakan beliau telah mengesyorkan cadangan tersebut kepada Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad baru-baru ini agar diwujudkan SPK berbanding Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sekarang.

Katanya, perkara tersebut mampu menjadikan perkhidmatan di hospital dan pusat-pusat kesihatan lebih efisien dan proaktif.

Dengan cara ini kita tidak terikat dengan undang-undang SPA yang agak rigid,yang susah untuk menjadikan kita lebih fleksibel… dan dalam masa sama kita tidak ada kuasa yang besar untuk menentukan penempatan dan bagaimana kita dapat menjaga kebajikan kakitangan kesihatan awam.

Jika kerajaan baharu mengambil tindakan yang berbeza, saya percaya ia mampu menyelesaikan banyak perkara yang tergantung akibat birokrasi dalam perkhidmatan awam,” ujar beliau dalam satu sidang media pada Program Makan Durian Bersama Pengamal Media di Pusat Agro Pelancongan Relau, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Rozaidi Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Shahbani Ismail dan pengamal-pengamal media di Pulau Pinang.

Pada sidang media sama, Afif turut memaklumkan statistik terkini penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negeri ini sehingga semalam (23 Julai 2018) mencatatkan 67 kes baharu.

Dari 67 kes itu… 23 premis dan empat sekolah masih ditutup iaitu melibatkan beberapa kelas dan 13 kes masih dirawat di dalam wad.

Selain itu saya sarankan kepada ibu bapa, jika syaki anak mereka dijangkiti HFMD,pastikan anak ini dikuarantin di rumah, tidak boleh di bawa ke tempat-tempat awam, sekolah, pusat-pusat penjagaan dan yang penting mereka perlu dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor secepat mungkin,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Pada program tersebut, sebanyak 100 kilogram buah durian diperuntukkan kepada para pengamal media dari jenis baka-baka yang dihasilkan di Pulau Pinang seperti Hor Lor, Udang Merah, Kulit Hijau, Duri Hitam, Ochee dan Musang King (Kelantan).

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD