Agenda hijau, MPPP terima pengiktirafan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mencipta satu lagi kejayaan apabila menerima Anugerah Kelestarian 2014 melalui kategori Kepimpinan Perniagaan daripada Malaysia Green Building Confederation (MGBC) baru-baru ini.

MPPP diwakili Pengarah Bangunannya, Ar. Yew Tung Seang untuk menerima sebuah trofi dan sijil penghargaan pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Presiden MGBC, Ar. Sarly Adre Sarkum berkata, pihaknya mendokong misi menggalakkan pembangunan bangunan hijau bagi membina alam sekitar yang mampan melalui kaedah sesebuah bangunan dirancang, direka, dibina, disenggara dan dikendalikan.

“Anugerah ini diberikan kepada organisasi yang menunjukkan teladan kepimpinan dalam mempromosikan agenda hijau dan menerima pensijilan akhir GBI (Green Building Index).

“Penafaran ini melibatkan beberapa kriteria seperti kecekapan sumber tenaga bangunan, kualiti persekitaran dalaman, perancangan tapak dan pengurusan mapan, bahan-bahan sumber dan kecekapan inovasi,” ujarnya yang dijemput khas hadir pada Mesyuarat Biasa Majlis bagi memberikan penerangan terperinci berhubung anugerah diterima.

Hadir sama, Pengarah Firma Arkitek MAA. Sdn. Bhd., Ar. Von Kok Leong. Selain MPPP, turut menerima pengiktirafan sama ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SP Setia Berhad.

Ketika diminta mengulas sebab MPPP dianugerahkan pengiktirafan berkenaan, Sarly menyatakan bahawa MGBC mengiktiraf kepimpinan MPPP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MPPP telah meletakkan garis panduan yang tegas di dalam isu-isu alam sekitar.

“Malah, ia juga berjaya mengubah bahagian pulau Pulau Pinang kepada suasana yang lebih hijau dengan perancangan alam sekitar ke arah、 kualiti hidup yang lebih baik kini,” ujar beliau.