Pameran mangkuk tingkat sejajar aspirasi hijau MPPP

Admin

GEORGE TOWN – Pameran Revolusi Mangkuk Tingkat anjuran Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dari Mei hingga Julai ini adalah sejajar dengan aspirasi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ke arah usaha mewujudkan bandar hijau di sini.

Pengarah Rekreasi, Pelancongan Dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha semasa merasmikan pameran tersebut berkata, Pulau Pinang secara umumnya telah melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik dan di peringkat MPPP, larangan penggunaan bekas makanan polistirena turut diimplementasikan.

“Penggunaan bekas menyimpan makanan diperbuat daripada plastik serta budaya makanan segera yang diamalkan sekarang, sekaligus seakan melupakan masyarakat pada tradisi menggunakan mangkuk tingkat,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Kurator Muzium, Haryany Mohamad serta dua Ahli Majlis MPPP, Gooi Seong Kin dan Lim Boon Beng turut hadir pada majlis buat julung kali diadakan di negeri ini.

Difahamkan, hampir 190 mangkuk tingkat berjaya dikumpul sempena pameran yang berlangsung tersebut, termasuklah koleksi unik dari Czechoslovakia, Eropah dan “Peranakan”.

Lanjutan itu, Haryany memberitahu, Lembaga Muzium mengambil inisiatif khas mengadakan pameran tersebut dengan mendokumentasikan perubahan senario penggunaan mangkuk tingkat sejak 100 tahun lalu.

“Pameran ini adalah untuk mengekalkan mangkuk tingkat yang dianggap sebagai barangan antik dan tradisi sejak era 1920-an.

“Budaya kita adalah identiti kita,” ujar beliau.