Agenda pembangunan negeri berteraskan Visi Penang2030 diteruskan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan agenda pembangunan negeri berteraskan Visi Penang2030 iaitu ke arah menjadi ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cabaran utama yang perlu diharungi kini adalah untuk memastikan pembangunan negeri berada pada landasan yang betul.

 

“Impak (pandemik COVID-19) kepada (segmen) pekerjaan, pendapatan dan sosial masyarakat adalah lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya yang mana rakyat mengharapkan penyelesaian dalam tempoh masa singkat.

 

CHOW Kon Yeow ketika berucap di balai istiadat dekat Dewan Sri Pinang pagi ini.

“Pulau Pinang kini telah memasuki Fasa Tiga (3) Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermakna lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi selaras dengan kebenaran pergerakan merentas negeri.

 

“Dalam mendepani cabaran ini, penglibatan semua anggota masyarakat adalah penting, daripada pimpinan Kerajaan Negeri, penjawat awam, pemain industri…semua perlu berganding bahu dan mengambil tanggungjawab membantu antara satu sama lain,” ujarnya pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-72 Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Sri Pinang, dekat sini pada 1 November 2021.

 

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat melalui pemberian Pakej Bantuan Khas melibatkan perbelanjaan berjumlah RM176.45 juta.

 

Selain itu, tambah beliau, Kerajaan Negeri juga telah mengedarkan pek bekalan makanan sebagai tambahan supaya bekalan makanan tidak terputus dengan kos sebanyak RM540,000 dan RM400,000 bagi pembelian 40,000 kit ujian kendiri.

 

“Malah, program saringan komuniti secara percuma, Penang Saring COVID-19 (PSC19) yang diadakan di 44 lokasi di seluruh negeri telah berjaya membantu mengawal penularan pandemik sekali gus meningkatkan kesedaran rakyat untuk menjalani ujian saringan secara berkala.

 

Inisiatif terbaharu adalah kolaborasi dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO), para pemain industri utama serta profesional membentuk PgCare Alliance yang bertujuan memberi sokongan dan bantuan kepada golongan terjejas akibat pandemik.

 

“Tidak ketinggalan, Kerajaan Negeri juga komited menerajui industri ekonomi digital dengan menarik kemasukan pelaburan baru sekali gus mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan bernilai tinggi,’’ jelasnya.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kepada golongan usahawan mikro, kecil dan sederhana yang dikategorikan sebagai sektor ‘non-essential’, Kerajaan Negeri menyediakan RM5 juta dalam bentuk pinjaman bagi tempoh 30 bulan dengan moratorium untuk enam bulan pertama dan RM1 juta untuk Penang Halal International melalui ‘Marketplace Digital Commerce’.

 

Bagi sektor pelancongan, Kerajaan Negeri melancarkan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021 – 2030 yang bakal mendorong pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

 

“Tidak terhenti setakat itu, Kerajaan Negeri juga komited memartabatkan agama Islam dengan menyediakan tempat ibadat yang mencukupi dan selesa kepada penganut agama Islam di negeri ini.

 

“Begitu juga dalam aspek perumahan yang mana Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menyediakan 220,000 rumah mampu milik pelbagai kategori termasuk menyediakan kemudahan sewa beli kepada kelompok yang sukar mendapatkan pembiayaan.

 

“Manakala, ‘Best! Anak Penang’ iaitu Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang ditubuhkan bagi sebagai lambang keprihatinan dan penghargaan belia yang berjaya mengharumkan nama negeri melalui pencapaian akademik dan aktiviti kokurikulum,’’ ulasnya.

 

Kon Yeow mewakili pimpinan Kerajaan Negeri turut memperbaharui ikrar taat setia kepada TYT Tun, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan Negeri.

 

“Saya bersama-sama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan semua anggota perkhidmatan awam akan terus menggembleng usaha serta tenaga untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kebahagiaan rakyat Pulau Pinang dan negara Malaysia,” lafaznya.

 

Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Semua petugas, penerima dan jemputan diwajibkan mematuhi syarat-syarat ditetapkan seperti menerima vaksinasi lengkap dan tamat tempoh 14 hari termasuk perlu menjalani ujian saringan COVID-19 (RT-PCR).

 

Istiadat hari pertama hari ini akan berlangsung selama lima hari iaitu pada 1, 2, 8, 9 dan 10 November 2021 melibatkan 1,036 penerima.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar & Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR