Agenda pemerkasaan wanita akan terus diberi penekanan

Admin

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan penekanan terhadap agenda pemerkasaan wanita walaupun berlakunya perubahan portfolio seperti diumumkan baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa agenda memperkasakan wanita termasuk keterangkuman gender akan terus menjadi sebahagian daripada dasar penting di negeri ini melalui portfolio Pembangunan Sosial.

Barisan ADUN turut memberikan kerjasama bagi menjayakan Sidang Wanita Pulau Pinang 2020.

“Saya percaya Pulau Pinang merupakan negeri yang memandang serius terhadap agenda ini kerana jika dilihat kepada kebanyakan negara di seluruh dunia, bukan semuanya mengamalkan dasar atau perspektif pembangunan melalui dasar keterangkuman gender.

“Jadi, kita seharusnya berasa bangga kerana kita (Kerajaan Negeri) banyak didorong oleh pucuk pimpinan wanita di negeri ini yang sentiasa membawa isu-isu ke peringkat negeri atau parti politik.

“Bagaimanapun, hasilnya bukan mudah untuk dicapai kerana memerlukan perjuangan yang panjang sehingga Kerajaan Negeri mewujudkan portfolio khusus iaitu Keterangkuman Gender pada 2018 yang kini dijenama serta dirangkumkan di bawah Pembangunan Sosial,” katanya pada sesi dialog berhubung pendirian Pulau Pinang mengenai keterangkuman gender sempena penganjuran Bengkel Persediaan Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 di sini pagi tadi.

Lebih 100 peserta hadir pada program berkaitan, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ali Lembaga Pengarah PWDC, Dato’ Rohana Abdul Ghani serta Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menekankan bahawa penganjuran Sidang Wanita Pulau Pinang 2020 juga merupakan sebahagian daripada perjuangan agenda keterangkuman gender termasuk memperkasakan penglibatan dan perwakilan wanita di kedudukan pembuat dasar.

“Sebagai pembuat keputusan sama ada dalam parti politik mahupun kerajaan, hasrat kita adalah mahu membuka lebih banyak peluang kepada wanita, bagaimanapun di peringkat mencungkil bakat atau meyakinkan wanita untuk tampil ke hadapan masih lagi menjadi satu cabaran yang besar.

“Justeru, Pulau Pinang menampilkan pelbagai program selain telah melepasi garis permulaan dalam perjuangan memperkasakan wanita bagi mengisi kedudukan dalam proses pembuat dasar di negeri ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, Chong Eng yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PWDC dalam ucapan aluan sebelum itu menyatakan bahawa ADUN wanita di Pulau Pinang hanya merangkumi 15 peratus iaitu enam orang sahaja daripada jumlah keseluruhan 40 ADUN.

Barisan pimpinan wanita menunjukkan komitmen yang jitu dalam menjayakan agenda pemerkasaan wanita dan keterangkuman gender.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa peratusan perwakilan wanita di Dewan Rakyat pula dalam lingkungan sama iaitu 14.9 peratus yang dilihat masih jauh untuk mencapai sasaran 30 peratus seperti yang ditetapkan.

“Kekurangan perwakilan wanita yang ketara dalam penggubalan dasar serta undang-undang akan menyebabkan isu-isu serta keperluan wanita tidak disuarakan seperti pusat jagaan kanak-kanak, peruntukan bajet, keganasan berasaskan gender serta banyak lagi,” tegasnya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tampil dengan Sidang Wanita bermatlamat membina bakat pimpinan wanita sebagai pembuat keputusan yang mampu membela hak wanita dan kanak-kanak, menggubal undang-undang seksual serta memperjuangkan kesaksamaan gender,” ujarnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PWDC buat julung kalinya bakal menganjurkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk wanita pada 17 Oktober 2020.

Program tersebut dirangka khusus untuk mencungkil bakat para wanita daripada pelbagai latar belakang serta diberikan pendedahan berkaitan tugas wakil rakyat.

Difahamkan, seramai 40 peserta wanita akan dipilih melalui tapisan terperinci untuk diberikan peranan sebagai wakil rakyat bagi membawa dan membahaskan isu-isu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING