Agensi negeri dan PBT diarah untuk lebih tegas pastikan pematuhan SOP yang tinggi – Exco

Admin

TANJUNG BUNGAH – Petugas barisan hadapan terutamanya penguatkuasa negeri diharap bertindak lebih tegas terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19 yang semakin meningkat saban hari.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, beliau telahpun mengeluarkan arahan kepada semua agensi negeri terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak membabitkan keselamatan diri dan kesihatan.

“Di Malaysia kini menyaksikan angka kes yang semakin naik, ini adalah pandemik yang kita semua perlu perangi sekarang… tetapi peperangan ini tidak boleh dilakukan sendiri sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak iaitu rakyat dan semua agensi.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, kendatipun ura-ura vaksin telah ada tetapi kita tidak tahu sejauh mana tahap keberkesanannya dan vaksin yang paling efektif mujarab adalah pematuhan kepada SOP yang tinggi, itu adalah paling penting.

“Justeru, saya telah mengarahkan kepada semua agensi negeri dan kedua-dua PBT terutamanya yang sentiasa memantau dan berada di lapangan agar ambil tindakan tegas jika ada yang ingar SOP,” tegas beliau pada sidang media pematuhan SOP dan majlis pemberian sumbangan kepada wira barisan hadapan di sini pagi tadi.

Hadir sama wakil-wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Setakat 18 November 2020, sejumlah 440,070 pemeriksaan pematuhan SOP COVID-19 telah dilakukan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan 99.69 peratus kadar pematuhan dan 662.034 pemeriksaan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada kadar 99.36 peratus. Ini menjadikan keseluruhan 1.10 juta pemeriksaan telah dijalankan oleh kedua-dua PBT negeri sehingga kini.

Serentak itu, sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang menjaga keselamatan di Rainbow Paradise Hotel yang dijadikan sebagai Pusat KuarantinCOVID-19 di sini, Jagdeep telah memperuntukkan 65 bakul makanan untuk diagihkan kepada mereka.

“Sebanyak 65 pek bakul makanan berupa barangan dapur diberikan khusus sebagai sokongan moral kepada mereka yang sentiasa berada di lapangan untuk memastikan keselamatan dan semua SOP dipatuhi di sini.

“Di kawasan pulau, kita mempunyai dua Pusat Kuarantin COVID-19 iaitu di sini (Rainbow Paradise Hotel) Tanjung Bungah dan satu lagi di Teluk Bahang.

“Setakat 19 November 2020, sejumlah 59 Persons under Surveillance (PUS) masih ditempatkan di Pusat Kuarantin COVID-19 di Tanjung Bungah ini sejak Julai lalu, manakala 843 PUS telah discaj setelah semua PUS ini didapati 100 peratus negatif selepas ujian saringan dijalankan,” jelas beliau.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : EXCO