Agensi negeri dan Persekutuan perlu diselaras bagi mudahkan pelaksanaan program kebajikan rakyat – Exco

Admin

MACHANG BUBUK – Semua agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan perlu diselaras bagi memudahkan pelaksanaan program-program kebajikan rakyat.

Mengulas lanjut, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata hubungan yang baik antara agensi-agensi ini akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya bagi yang berada di kawasan luar bandar.

Dr. Afif Bahardin menyampaikan sebuah televisyen kepada pihak Klinik Kesihatan Machang Bubuk.

“Fokus kita (Kerajaan Negeri) adalah membangunkan lagi industri desa melalui projek-projek khas ekonomi yang dianjurkan bersama-sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Melalui kerjasama yang terjalin ini, kita dapat mengenal pasti projek-projek Kerajaan Negeri dan Persekutuan agar tidak berlaku pertindihan kerana tujuannya adalah sama iaitu untuk meningkatkan pendapatan rakyat selain memberikan taraf hidup yang lebih baik untuk mereka.

“Pada masa ini terdapat pelbagai agensi kerajaan di Persekutuan yang membantu mempromosikan lagi produk-produk industri kecil dan sederhana (IKS) seperti ICU, Jabatan Pertanian, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta banyak lagi,” ujarnya semasa berucap pada majlis penutup Jelajah Desa bagi peringkat Seberang Perai Tengah (SPT) dekat Bengkel Giatmara, di sini pada 24 Disember lalu.

Menyampaikan sijil penghargaan kepada pemilik bengkel Kek Lapis Lapis Sarawak.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Ong Jing Cheng; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) Sharliza Wahab; Pengurus Giatmara Bukit Mertajam Saiful Azmi Omar; wakil Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Siti Nur Shazreen serta Pegawai Khas ADUN Machang Bubuk K. Predeeb Kumar.

Tambah Afif, kerajaan juga pada masa ini sedang memfokuskan pembangunan modal insan bagi melahirkan masyarakat yang mampu berdikari melalui pemerkasaan sistem pendidikan.

“Hasrat kita adalah untuk mewujudkan masyarakat yang mampu berdikari sendiri dan hanya melalui pendidikan sahaja perubahan boleh dilakukan.

“Pendidikan akan menyediakan anak muda yang berkemahiran, berilmu pengetahuan, berwawasan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya.

Serahan kunci kepada penerima bantuan bina baru rumah.

Dalam pada itu, Khai Loon menyifatkan program Jelajah Desa sebagai sesuatu yang sangat bermakna kerana lawatan yang diadakan turut meliputi usahawan desa serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang berpotensi untuk dibangunkan.

“Melalui jelajah ini, kita dapati banyak tempat yang boleh dibangunkan menjadi satu destinasi pelancong.

“Justeru, pada masa akan datang, Kerajaan Negeri boleh fikir dan rancang bagaimana hendak membantu peniaga kecil seperti menyediakan tempat lebih kondusif untuk peniaga-peniaga kecil bagi membangunkan lagi perniagaan mereka sekaligus dapat meningkatkan pendapatan,” ulasnya.

Menyampaikan barangan keperluan kepada keluarga Muhammad Safuan Mansur yang terlantar akibat kemalangan jalan raya.

Terdahulu, pasukan Jelajah Desa bagi peringkat SPT memulakan lawatan ke Klinik Kesihatan Machang Bubuk sebelum melawat ke bengkel sos cili Pak Cik dekat Bukit Teh.

Selepas itu, Afif bersama-sama peserta jelajah meneruskan kunjungan ke bengkel Kek Lapis Sarawak di Kampung Tok Musa dan kemudiannya ke kediaman S. Ganaskumar yang mendapat bantuan bina semula rumah melalui peruntukan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang bernilai RM45,000.

Lawatan diteruskan pula ke kediaman Muhammad Safuan Mansur di Taman Machang Bubuk yang merupakan pesakit terlantar selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya dua bulan lalu.

Mengakhiri lawatan, Afif bersama-sama para peserta jelajah berkunjung ke bengkel Giatmara Machang Bubuk untuk meninjau kemudahan yang terdapat di sana sebelum menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak-pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

Di kesempatan itu juga, Buletin Mutiara berpeluang menemu bual beberapa usahawan dan penerima bantuan yang terlibat dalam program tersebut.

MOHD. ZULKIFLI MOHD. NOOR.

Pemilik perusahaan sos cili, MOHD. ZULKIFLI MOHD. NOOR, 25, berharap agar agensi-agensi berkaitan dapat membantu beliau mendapatkan pensijilan halal bagi memboleh produk yang diusahakan dapat dipasarkan dengan lebih luas.

“Sekarang sos cili dan cili giling yang kami hasilkan hanya dipasarkan di Pulau Pinang dan beberapa kawasan di Perak.

“Kalau boleh kami mahu pasarkan di seluruh negara dan perkara itu memerlukan sijil halal,” katanya sambil memberitahu bahawa perniagaan tersebut telah dimulakan sejak 15 tahun lalu oleh ayahnya.

ROSLAN ABU.

Pengusaha Kek Lapis Sarawak ROSLAN ABU, 45, pula meluahkan rasa syukur kerana beliau banyak mendapat bantuan daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Zakat Pulau Pinang.

“Saya usahakan perniagaan kek lapis sejak 2009 selepas diberhentikan kerja.

“Saya bersyukur kerana mendapat banyak bantuan daripada kerajaan seperti Jabatan Pertanian yang memberikan mesin pengadun untuk membolehkan saya mengeluarkan produk dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Terbaharu, JKM memberikan bantuan geran pelancaran untuk produk-produk saya,” ujarnya lagi.

S. GANASKUMAR (kanan).

Sementara itu, G. GANASKUMAR, 50, berkata bahawa penantian selama 10 tahun untuk mendapatkan rumah yang selesa akhirnya tertunai.

“Bila dapat tahu kerajaan hendak bagi bantuan kepada orang miskin, saya terus memohon untuk dapatkan rumah

“Saya sangat gembira kerana dapat rumah ini tanpa perlu melalui proses yang sukar,” katanya yang merupakan ayah kepada empat cahaya mata.

Difahamkan, Jelajah Desa peringkat SPT merupakan program terakhir bagi tahun ini selepas ke empat daerah sebelum ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN