Ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri, Ketua Pembangkang DUN dijemput

Admin

GEORGE TOWN – Ketepikan politik, sebaliknya semua pihak perlu menggembleng tenaga agar usaha membasmi penularan wabak COVID-19 dapat dijayakan.

Berasaskan pegangan tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini telah menghubungi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang.

Serentak itu, Kon Yeow turut menjemput beliau untuk hadir di mesyuarat JKKN seterusnya yang bakal berlangsung pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 9.30 pagi di Komtar.

“Saya telah menghubungi Datuk Muhamad Yusoff dan beliau telah menerima pelantikan tersebut, dan juga bersetuju untuk hadir ke mesyuarat jawatankuasa yang bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelarasan pelbagai agensi negeri serta Persekutuan berhubung pengurusan isu COVID-19 sebagaimana dijadualkan,’’ katanya pada siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap dalam tempoh krisis COVID-19 kini, semua wakil rakyat negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti kerajaan mahupun pembangkang akan bekerjasama bagi memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang kekal terpelihara,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi JKKN Pulau Pinang.

Pada sidang media sama, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam aspek tersebut, Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa peruntukan khas dana bantuan rakyat akan disalurkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti politik.

“Kerajaan Negeri akan memberikan peruntukan khas dana bantuan rakyat berjumlah RM30,000 secara saksama kepada semua 40 ADUN Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang politik mereka,” ulasnya lanjut yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Mengulas lanjut berhubung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri semalam, Kon Yeow berharap gabungan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dan pakej Kerajaan Persekutuan tersebut akan membolehkan rakyat bangkit semula daripada kemuraman ekonomi akibat wabak berkaitan.

“Fokus kita (Kerajaan Negeri) sekarang ialah untuk memastikan segala bantuan serta insentif kewangan sampai dengan pantas serta jitu kepada kumpulan sasar.

“Bagi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, saya berjanji wang bantuan akan mula diagihkan bermula bulan April 2020, iaitu dalam tempoh empat hari lagi,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : LAW SUUN TING