Ahli Parlimen Balik Pulau sumbang dua bot penyelamat

BALIK PULAU – Ekoran keadaan iklim negeri yang tidak menentu kini, Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengambil langkah persediaan awal dengan menyediakan dua bot penyelamat untuk kegunaan komuniti setempat dan sekitar Daerah Barat Daya.

“Sebanyak dua buah bot penyelamat beserta enjin telah disumbang kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Barat Daya melibatkan kos sebanyak RM18,000.

“Langkah kesiapsiagaan ini diambil dek ramalan kajian cuaca yang menyatakan menjelang bulan Oktober hingga November bakal berlaku ribut petir sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan,” ujarnya semasa Majlis Penyerahan Dua Unit Bot Penyelamat kepada IPD Barat Daya baru-baru ini.

JAFRI (kanan sekali) bersama-sama wakil rakyat semasa sesi taklimat ringkas.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuan Ismail; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Pegawai Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri serta Timbalan Ketua Polis IPD Barat Daya, DSP Jafri Mad Zain.

BAKHTIAR (kanan) bersama-sama Jafri semasa sesi penyerahan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bakhtiar turut menzahirkan rasa kelegaan dengan beberapa inisiatif yang telah dijalankan oleh pihaknya bersama-sama beberapa pihak lain demi menghadapi kemungkinan kejadian banjir pada hujung tahun ini.

“Pihak saya juga turut membina beberapa jambatan serta menaik taraf longkang di sekitar kawasan Kuala Jalan Baru, Simpang Empat dan juga Sungai Rusa.

“Justeru itu, perubahan iklim tidak boleh dipandang enteng dan perlu segera dititikberatkan, jika boleh elakkan berlakunya banjir besar seperti negara luar yang lain,” serunya sambil memaklumkan persediaan lain yang diberikan termasuk ‘flood aid kit’.

Sementara itu, Nurul Izzah memaklumkan negeri Kedah dan Perlis turut diseru untuk melaksanakan langkah kesiapsiagaan sebagaimana dilaksanakan di Pulau Pinang bagi menghadapi bencana banjir kelak.

“Di kesempatan ini, saya berbesar hati menyeru lebih ramai wakil rakyat serta ADUN menyediakan setiap langkah kesiapsiagaan dek perubahan iklim yang ekstrem.

“Untuk makluman, cuaca kini telah meningkat sehingga 30 darjah Celcius, jika pengeluaran gas hijau tidak dikurangkan, maka kita akan terperangkap dengan atmosfera sebegini hingga mengakibatkan bencana banjir terutamanya,” jelasnya.

NURUL Izzah Anwar.

Beliau turut memberitahu Buletin Mutiara bahawa beberapa kawasan sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) turut mengambil beberapa langkah kesiapsiagaan dengan penglibatan sukarelawan daripada beberapa agensi yang terlibat.

“Menjelang bulan (Oktober) ini, beberapa simulasi dan adaptasi akan dilakukan, malahan latihan berkayak serta pemberian ‘rubber boats’ telah diadakan sebagai langkah persediaan.

“Lantaran itu, inisiatif lain yang boleh dilaksanakan termasuk menyedari kepentingan memelihara hutan paya bakau agar dapat melindungi seluruh Pulau Pinang dan Malaysia hendaknya,” ujarnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING