Ahli Parlimen Balik Pulau sumbang ‘smartboard’ bantu lonjak transformasi digital sekolah

17ab9c69 8916 4193 a14d 904c64360dc1 MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik (kiri sekali) turut meluangkan masa melawat gerai pameran sempena berlangsungnya Majlis Penyerahan Smart Board Kepada Sekolah-Sekolah Parlimen Balik Pulau 2025 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pondok Upeh di sini pada 3 November 2025.

PULAU BETONG – Sebanyak 12 buah sekolah terpilih di kawasan Parlimen Balik Pulau kini selangkah ke hadapan dalam era pendidikan digital apabila masing-masing menerima skrin sentuh dan papan tulis interaktif (smartboard) bernilai RM12,999 seunit.

e32ff3f2 8e5c 486f a98c 7c178ac2c754
MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik

Kemudahan canggih itu disediakan oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik, menggunakan peruntukan khas berjumlah RM155,988 bagi meningkatkan mutu pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan.

“Pemilihan sekolah ini dibuat berdasarkan keperluan dan potensi mereka untuk memanfaatkan teknologi ini sepenuhnya dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang lebih efektif dan interaktif,” jelas Muhammad Bakhtiar dalam majlis penyerahan kemudahan pintar tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh di sini pada 3 November 2025.

Kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya, Dr. Mohd. Siroj Abdul Lathif; Pengetua SMK Pondok Upeh, Hassan Din, serta barisan pengetua dan guru besar sekolah yang menerima sumbangan itu turut menyerikan majlis berkenaan.

Berucap lanjut, Muhammad Bakhtiar berkata bahawa Kerajaan Negeri serta Kerajaan Persekutuan kini komited untuk meningkatkan mutu pendidikan sekolah dengan menerapkan elemen digital.

Selari dengan hasrat itu, menurutnya lagi, sejumlah RM923,035 telah dimanfaatkan khusus untuk sektor pendidikan iaitu sebahagian besar daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat yang berjumlah RM2 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyuarakan harapan agar semua pihak termasuk ibu bapa dan guru, dapat memainkan peranan aktif supaya keseimbangan dalam penggunaan teknologi dan gajet dapat diterapkan dalam masyarakat, sebagaimana amalan di negara maju seperti Sweden, Australia dan Jepun.

Dengan berbuat demikian, tambahnya lagi, sekali gus dapat membantu generasi muda khususnya di kawasan Parlimen Balik Pulau menguasai kemahiran digital serta melahirkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran global.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN