Ahli Parlimen Bayan Baru sumbang RM8,000 kepada tiga mangsa kebakaran

BAYAN LEPAS – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyerahkan sumbangan sebanyak RM4,000 kepada mangsa kebakaran dekat 10 Kongsi, Persiaran Kelicap 1, Mutiara Perdana di sini pagi ini.

Sumbangan RM2,000 itu masing-masingnya diberikan kepada Wang Kam Boon selaku pemilik rumah dan Sim Mee Nam (penyewa) ekoran separuh daripada kediaman mereka terbakar dalam kejadian 2 Disember lalu.

Mewakili Tze Tzin, Pegawai Khas beliau, Chan Soon Aun hadir menyampaikan sumbangan berkenaan.

Difahamkan, dalam kejadian tempoh hari, ruang tamu rumah berkenaan musnah dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA).

Hadir sama Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bayan Baru, Mohd. Aidil Fitri Ibrahim dan Rohaizan Md. Saad (Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Maung).

Sementara itu di lokasi berasingan, dekat Permatang Damar Laut sejumlah RM4,000 turut disumbangkan Tze Tzin kepada pemilik dan penyewa rumah di sini yang menerima nasib sama.

Kebakaran tersebut menyebabkan mangsa dan keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah musnah sepenuhnya termasuk tiga buah kereta.

Dimaklumkan bahawa keluarga berkenaan telah menerima sumbangan pendahuluan berjumlah RM1,000 daripada Tabung TYT, dan bakinya sebanyak RM4,000 masih di peringat pemprosesan.

 

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF