Ahli Parlimen Bukit Mertajam lancar ‘Trak Harapan’ sebagai usaha dekatkan diri dengan masyarakat

Admin

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong melancarkan ‘Trak Harapan’ (I love BM) sebagai salah usaha untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, trak tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh semua wakil rakyat Bukit Mertajam khas untuk penduduk di Bukit Mertajam.

“Trak ‘I love BM’ merupakan satu inisiatif tambahan untuk penduduk BM (Bukit Mertajam) dalam usaha menyalurkan pelbagai perkhidmatan kepada seluruh masyarakat di kawasan ini.

“Saya bersama-sama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Heng Lee Lee (ADUN Berapit); Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubok) dan Chong Eng (ADUN Padang Lalang) masing-masing mempunyai pusat khidmat sendiri.

“Namun, melalui trak bergerak ini, kita (wakil rakyat BM) mampu mendekatkan diri dengan penduduk selain menjemput mereka untuk hadir sendiri di pusat khidmat,” katanya semasa perasmian trak berkenaan di perkarangan Pasar Kampung Baru, di sini 11 Mei lalu.

STEVEN Sim Chee Keong mengedarkan kek cawan kepada peniaga-peniaga di pasar Kampung Baru Bukit Mertajam sempena Sambutan Hari Ibu.

Hadir sama, ADUN Berapit, Heng Lee Lee.

Dalam perkembangan berkaitan, Chee Keong memberitahu bahawa pelbagai faedah dapat dinikmati rakyat hasil daripada dasar-dasar kebajikan dan urus tadbir yang baik diamalkan Kerajaan Pakatan Harapan.

“Di BM, sebanyak RM8.36 juta peruntukan diberikan kepada sekolah-sekolah menengah dan rendah demi manfaat rakyat.

“Dalam setahun ini juga, kita telah melaksanakan program infrastruktur seperti projek-projek tebatan banjir dengan kos sebanyak RM31.95 juta,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pada Mei, trak tersebut akan bergerak pada setiap Sabtu dan Ahad di seluruh kawasan BM manakala mulai Jun dan bulan-bulan seterusnya akan beroperasi setiap Sabtu sahaja (9:00 pagi sehingga 12:00 tengah hari).

Trak tersebut dan bergerak ke setiap tempat berbeza bagi memudahahlan penduduk BM mendapatan perkhidmatan yang diperlukan.

Teks & Gambar: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN