BERTAM – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perkhidmatan bukanlah satu ancaman kepada penjawat awam, sebaliknya bertindak sebagai pengganda keupayaan bagi mempermudah birokrasi dan memacu produktiviti pentadbiran.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil berkata sedemikian semasa berucap dalam Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam @ Pulau Pinang 2026 di sini pada 23 September lalu.
“AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada penjawat awam, sebaliknya sebagai pengganda keupayaan.
“Tugasan berulang boleh diautomasikan supaya penjawat awam dapat memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan tugas yang memerlukan pertimbangan manusia, dengan syarat disertai akauntabiliti, keselamatan, privasi, serta pengawasan manusia yang ketat,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, AI mesti digunakan secara bijak untuk menyelesaikan masalah sebenar rakyat, bukannya sekadar menukar borang fizikal kepada bentuk digital tanpa mengubah proses kerja yang rumit.
Beliau turut menekankan bahawa ukuran sebenar kejayaan serta produktiviti perkhidmatan awam adalah berdasarkan masa yang dapat dijimatkan dan masalah rakyat yang berjaya diselesaikan, bukannya dinilai daripada bilangan sistem yang dibangunkan semata-mata.
Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa konvensyen julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bertemakan ‘AI Memacu Reformasi Perkhidmatan Awam’ itu berjaya menyatukan dua agenda utama negeri iaitu Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan AI.
Mengulas lanjut, Jafri kemudiannya memaklumkan bahawa reformasi pentadbiran telah lama menjadi tunjang di bawah kerangka Visi Penang2030.
Sehingga kini menurutnya, sebanyak 29 projek RKB telah berjaya dilaksanakan dengan mencatatkan penjimatan kos signifikan sebanyak RM2.4 bilion.
“AI perlu dilihat bukan sekadar sebagai agenda teknologi, tetapi sebagai agenda pentadbiran dan reformasi.
“Ia membuka peluang untuk kita melihat semula bagaimana kerajaan boleh bekerja dengan lebih pintar,” tambah beliau.
Menerusi konvensyen sama, turut berlangsung sesi forum bertajuk ‘AI dan Produktiviti: Memacu Transformasi Perkhidmatan Awam Masa Hadapan’ yang menampilkan Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam bersama Pendakwah Teknologi, Ts. Adil Hidayat Rosli.
Dr. Mohamad Norjayadi menekankan bahawa MPC sentiasa komited menjadi rakan strategik negeri dalam membina keupayaan perkhidmatan awam secara berstruktur berasaskan data, yang mana fokus utama AI adalah meringankan tugas penjawat awam serta mempercepat penyampaian kepada masyarakat.
Kemuncak majlis menyaksikan pengiktirafan bagi projek AI-RKB terbaik yang melibatkan penyertaan 19 kumpulan daripada 13 agensi.
Kumpulan Speedy Squad 1 daripada Unit OSC Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dinobatkan sebagai johan, manakala naib johan diraih oleh Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang menerusi projek ‘AI Photo Booth’.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi inovasi sistem penderiaan jauh satelit bagi memantau kesihatan pokok bandar.
Program yang dihadiri hampir 450 peserta daripada pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta wakil dari negeri Kedah, Perak, dan Perlis ini diharap dapat meluaskan penggunaan AI secara bertanggungjawab, sekali gus memperkukuh perkongsian amalan terbaik RKB dan AI pada peringkat Wilayah Utara.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MPC