PINANG TUNGGAL – Penguasaan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan kemahiran masa hadapan perlu terus diperkasakan dalam sistem pendidikan bagi melahirkan generasi yang berdaya saing serta memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sebagai hab teknologi tinggi dan semikonduktor negara memerlukan bakat yang menguasai kemahiran digital, AI, analitik data serta penyelesaian masalah bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menurut beliau, perkembangan pesat Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), ekonomi digital dan AI telah mengubah landskap pembelajaran, pekerjaan serta kaedah membuat keputusan, sekali gus menuntut institusi pendidikan menyesuaikan pendekatan pengajaran.
“Sekolah perlu terus melahirkan generasi yang bukan sahaja menguasai teknologi, malah memiliki pemikiran kritis, kreativiti, integriti serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“AI kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan membuka ruang besar untuk memperkayakan proses pengajaran, memperibadikan pembelajaran serta meningkatkan kecekapan pengurusan sekolah.
“Namun, teknologi hanyalah pemudah cara kerana peranan guru sebagai pendidik, pembimbing dan pembentuk sahsiah tetap menjadi tunjang utama, justeru penggunaan AI perlu sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan pertimbangan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Profesional Pentadbir Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Majlis Perasmian Vibes Talk Studio, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang di sini pada 1 Ogos 2026.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad; Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan JPN Pulau Pinang, Saiful Nizam Ramlee serta Pegawai Penerangan Unit Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut menyifatkan SSTP berperanan sebagai antara pemangkin utama agenda pendigitalan pendidikan negeri menerusi latihan guru dan pengintegrasian teknologi dalam pendidikan.
“Kemudahan yang disediakan SSTP bersama rangkaian 18 Pusat Kegiatan Guru (PKG) di Pulau Pinang wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kompetensi guru, menghasilkan kandungan digital berkualiti serta berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan pendidikan digital.
“Malah, kepakaran SSTP turut dimanfaatkan pelbagai agensi kerajaan melalui latihan teknologi digital dan pembangunan kandungan digital, sekali gus menyokong peningkatan kompetensi sektor perkhidmatan awam,” ujarnya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan pada majlis berkaitan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa kejayaan agenda pendidikan memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Kementerian Pendidikan, JPN, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah, institusi pengajian tinggi, industri serta ibu bapa.
“Kerajaan Negeri akan terus menjadi rakan strategik kepada Kementerian Pendidikan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan melalui kerjasama dengan industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
“Pendekatan ini mampu memperluaskan akses kepada teknologi baharu seperti AI, realiti maya, studio penyiaran digital dan pembangunan kandungan multimedia, sekali gus meningkatkan profesionalisme warga pendidik.
“Serentak itu, saya percaya Vibes Talk Studio yang dilancarkan sebentar tadi juga mampu menjadi platform strategik untuk memperluas perkongsian ilmu, menghasilkan kandungan pendidikan digital berkualiti serta memperkukuh profesionalisme dan budaya inovasi dalam kalangan warga pendidikan,” jelasnya lanjut.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS