SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda perpaduan menerusi pendekatan dialog komuniti yang inklusif dengan memberi penekanan kepada literasi digital, empati sosial dan budaya saling menghormati sebagai benteng menghadapi cabaran era teknologi masa kini.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, Program Dialog Aman, Responsif dan Empati Sosial (DARES@Komuniti) Peringkat Kebangsaan 2026 merupakan platform strategik yang menyediakan ruang dialog secara terbuka, selamat dan berhemah bagi membolehkan masyarakat bertukar pandangan, menghargai kepelbagaian serta menyemai nilai hormat-menghormati.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu menyelesaikan isu secara muafakat, malah mampu memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan meningkatkan daya tahan sosial negara.
“Program DARES@Komuniti amat bertepatan dengan keperluan semasa yang menggalakkan penyelesaian secara muafakat terhadap isu-isu yang berpotensi menjejaskan keharmonian, sekali gus memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian dan meningkatkan daya tahan sosial negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program DARES@Komuniti Peringkat Kebangsaan 2026 yang bertemakan ‘Teguh Bersama: Mengakar Jati Diri, Mengukuh Negara Bangsa’ di sini, hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang antara kenamaan yang hadir menyempurnakan perasmian program berkaitan.
Mengulas lanjut, Choon Aik memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong segala usaha yang memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta Visi Penang2030.
Jelasnya, perpaduan merupakan tunjang kepada tadbir urus yang inklusif dan mampan selain menjadi asas kestabilan sosial, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa ledakan teknologi digital dan media sosial menuntut setiap anggota masyarakat mempunyai literasi digital yang tinggi bagi menilai kesahihan sesuatu maklumat serta menolak penyebaran berita palsu.
“Saya percaya bahawa perpaduan yang kukuh tidak terbina melalui slogan semata-mata, sebaliknya, ia lahir daripada tindakan yang konsisten, komunikasi yang berhemah, kesediaan untuk saling mendengar serta kerjasama erat antara kerajaan, agensi, pemimpin masyarakat dan rakyat,” katanya.

Dalam program sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta semua agensi strategik yang menjayakan program tersebut.
“Penghargaan sama turut diberikan kepada penggerak komuniti termasuk Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), mediator komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan yang memainkan peranan penting memupuk persefahaman dan menyelesaikan konflik secara berhemah pada peringkat akar umbi.
Saya juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat agar terus memperbaharui iltizam memelihara perpaduan sebagai asas kepada pembinaan negara yang aman, makmur dan sejahtera.
“Saya yakin bahawa melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, pemimpin komuniti dan seluruh rakyat, kita mampu membina komuniti yang lebih bersatu, inklusif dan berdaya tahan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun itu mengakhiri ucapannya.