Air bah tidak luntur semangat penternak ikan keli

Oleh : YAP LEE YING

Gambar : IDZHAM AHMAD

 

 

IKAN keli yang sedia untuk dipasarkan.
IKAN keli yang sedia untuk dipasarkan.

LUMRAHNYA, ramai yang berminat untuk mengusahakan penternakan ikan air tawar, namun, tidak ramai yang berjaya kekal atau terus berkecimpung dalam bidang tersebut.

 

Ternyata cabaran seperti kos harga makanan pelet tinggi, serangan penyakit dan faktor bencana alam banyak mematahkan semangat yang disemai seseorang penternak.

 

Bagaimanapun, berbeza bagi Omar Harun, 56, dan rakan kongsinya, Shah Abdullah Othman, 58, yang telah terlibat dalam bidang berkenaan sejak tahun 1996.

 

Pada sesi wawancara yang dijalankan, Omar tidak dapat hadir ekoran terikat dengan urusan keluarga. Maka, hadir memberi penjelasan kepada Buletin Mutiara adalah Shah Abdullah (Shah) yang juga adik ipar Omar.

 

Berasaskan pengalaman lampau, Shah menyatakan bahawa mereka kini menumpukan kepada penternakan ikan keli yang mana lebih mudah diurus dan masa ‘tuaian’ yang jauh lebih singkat.

 

SHAH Abdullah Othman.
SHAH Abdullah Othman.

Jelas beliau, ikan keli hanya memerlukan tempoh masa dua bulan untuk dijual berbanding lain-lain ikan seperti talapia dan puyu, enam hingga lapan bulan.

 

Tambahan pula, ikan keli jenis yang tidak manja. Ia hanya perlu diberi makan sekali sehari sama ada pelet mahupun perut ayam yang diproses.

 

“Dalam tempoh 60 hari, berat ikan keli mampu capai 1 kilogram (kg) iaitu saiz yang paling sesuai dijual kepada pengusaha-pengusaha restoran.

 

“Kalau besar sangat orang tak mahu,’’ katanya ketika ditemui di kolam ikannya yang terletak di Pekan Bumbung Lima, Kepala Batas.

 

Menurut Shah, pasaran beliau kini adalah di Sungai Petani, Seberang Perai Utara (SPU) dan Kampung Tanjung Rambai, Bumbung Lima.

 

“Memang terdapat banyak permintaan dari lain-lain tempat, namun, bekalan yang ada hanya mencukupi untuk pasaran tempatan sahaja,’’ jelasnya yang mempunyai perancangan untuk menambah bilangan kolam, namun tidak mampu ekoran kapasiti tanah yang amat terhad.

 

Bercerita mengenai pengalaman ketika mula bergiat dalam bidang tersebut, Shah memberitahu, selepas berhenti dari askar, abang iparnya, Omar mula berjinak-jinak dalam bidang penternakan ikan air tawar atas dasar minat dan juga bagi menambah pendapatan keluarga.

 

“Beliau membuat sendiri kolam ikan ternakannya yang mana hanya bahagian tepi disimen manakala dasar tanahnya dikekalkan bagi mempercepatkan tumbesaran ikan.

 

“Hasil kesungguhannya, terdapat kira-kira 30,000 hingga 40,000 ikan keli pelbagai peringkat diternak di kolam beliau kini,’’ ujar Shah sambil menyatakan bahawa sumber air kolam adalah dari Sungai Muda.

 

Selain menjadi bahan makanan burung, cabaran yang dihadapi Shah dan Omar adalah purata jumlah ikan yang mampu hidup.

 

“Daripada jumlah keseluruhan anak-anak ikan yang dilepaskan, hanya 1/3 sahaja akan hidup.

 

“Ikan keli jenis ‘makan kawan’. Maknanya, ia akan lawan sampai mati ikan yang lebih kecil untuk dijadikan bahan makanan.

 

“Justeru, ikan-ikan yang dipelihara perlu diasingkan mengikut saiz masing-masing,’’ kata beliau.

 

Selain itu, serangan penyakit berjangkit seperti kudis memerlukan rawatan khas menggunakan ubat-ubatan khas.

 

Berkongsi pengalaman sebelum ini, Shah memberitahu bahawa kolamnya pernah ‘dimakan’ banjir sebanyak empat kali.

 

“Selepas bah, kami datang tengok ikan, suasana kolam amat sunyi kerana semua ikan telah dihanyutkan arus.

 

ANAK-anak ikan keli.
ANAK-anak ikan keli.

“Bagaimanapun, kami tidak putus asa ekoran minat yang mendalam dan juga memperoleh sokongan moral daripada keluarga dan Jabatan Perikanan yang gantikan balik benih-benih ikan yang hilang,’’ katanya bahawa bidang ternakan juga memperuntukan daya kreativiti serta kesungguhan seseorang penternak.

 

Contohnya, hasil kajian lanjut dan semangat ingin belajar Omar, beliau mencipta sendiri saluran makanan ke kolam-kolam ikan peliharaannya.

 

Malah, Omar turut membiak sendiri benih ikan keli peliharaannya.

 

“Langkah pertama adalah urut bahagian perut ikan betina yang didapati telah mempunyai telur untuk mengeluarkan telur-telurnya yang berbentuk bulat dan berwarnan kehitam-hitaman.

 

“Selepas itu, belah perut ikan keli jantan untuk mendapatkan sperma ia untuk digaulkan sekali dengan telur yang dikeluarkan tadi. Sejenis bahan kimia turut dimasukkan bersama.

 

“Selepas tempoh 24 jam, telur-telur tersebut akan menetas,’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa sebahagian ikan keli akan bertukar warna kepada perang muda apabila mengjangkau usia setahun.