Bajet 2014 berasaskan pentadbiran hasil demi rakyat

KETUA Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri berjalan keluar dari bilik persidangan DUN selepas selesai pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2014 di sini baru-baru ini. (Gambar oleh, Ahmad Adil Muhamad).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini membentangkan Bajet 2014 Pulau Pinang, iaitu pelan belanjawan tahunan negeri yang memberi penekanan pada pentadbiran berasaskan hasil (outcome-based administration) demi kepentingan rakyat.

Bertemakan ‘Negeri Bertaraf Antarabangsa dan Pintar’, Guan Eng menggariskan tiga teras utama pembangunan negeri, iaitu merancakkan pertumbuhan negeri (pro-growth), mewujudkan peluang-peluang pekerjaan (projobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

“Hal ini bukan sekadar memenuhi prinsip value for money dan penggunaan sumber secara optimal, tetapi, juga memastikan setiap projek yang dirancang mampu memberikan impak maksima kepada rakyat.

“Pencarian sumber-sumber baru dan kreatif serta memaksimakan penggunaan sumber sedia ada menjadi fokus utama bagi mengurangkan perbelanjaan, di samping, pada masa sama dapat meningkatkan pendapatan,” ujarnya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2014 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Bajet 2014 yang dicadangkan adalah berjumlah RM962,190,699, iaitu RM843,195,379 untuk bajet pengurusan dan RM238,995,320 (bajet pembangunan).

Belanjawan kali ini mensasarkan RM587,753,720 kutipan hasil, iaitu pengurangan 17.05 peratus (RM120,769,940) berbanding anggaran hasil tahunan 2013 yang berjumlah RM708.52 juta.

Anggaran hasil itu terdiri daripada hasil cukai RM134.21 juta atau 22.83 peratus, hasil bukan cukai (RM367.50 juta atau 62.53 peratus) dan terimaan bukan hasil (RM86.04 juta atau 14.64 peratus).

“Perbezaan pengurangan hasil sebanyak RM120.77 juta yang dijangkakan pada tahun 2014 berbanding anggaran hasil tahun 2013 adalah kerana sumber hasil yang diperoleh daripada bayaran premium tanah bagi pemberian hak milik dan tukar syarat tanah tidak dapat dipastikan dan banyak bergantung kepada permintaan pasaran (market forces),” ujar beliau.

Ekoran itu, Guan Eng memberitahu, Bajet 2014 dijangka mengalami defisit RM255.44 juta, iaitu kurang RM6.60 juta berbanding anggaran defisit bagi tahun 2013 (RM262.04 juta).

Pun begitu, katanya lagi, anggaran defisit yang dijangka dalam Bajet 2014 dapat dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM825.28 juta pada akhir tahun 2012, sebagaimana disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara lepas.

“Bajet 2014 mungkin tiada surplas (lebihan kewangan), tetapi berimbang,” jelas Guan Eng yang mengakhiri pembentangan tersebut dengan serangkap pantun berbunyi :

Pulau Mutiara digelar nama,
Pulau Pinang sudah ternama,
Rakyat majmuk hidup saksama,
Segala rahmat nikmat bersama.