Khatan tradisional Bayan Lepas meriah

Oleh: A I N U L WARDAH SOHILLI

BAYAN LEPAS – Seramai 34 orang anak-anak watan Bayan Lepas menyertai Majlis Berkhatan Beramai-ramai (Kaedah Tradisonal – Tok Mudim) dekat sini baru-baru ini.

Majlis anjuran bersama Pasti Darul Ulum, PAS Cawangan Kampung Matahari Naik dan Jawatankuasa Kemajuan danKeselamatan Komuniti (JKKK) Taman Perda tersebut turut dijayakan Pasukan Bomba dan Penyelamat Bomba Kampung Terang, Balik Pulau.

Menurut Pengarah Program, Safar Said, kesemua kanak-kanak berkenaan dibawa berarak menaiki sebuah lori dan turut diiringi dengan 10 buah motosikal berkuasa tinggi.

“Kita arak budak-budak ini melalui lima kawasan iaitu Kampung Masjid, Kampung Sulup, Taman Sahabat, Kampung Nelayan dan Taman Perda.

“Sampai di Teluk Kumbar, paluan kompang dari ar-Raudhah Taman Perda mengiringi sampai acara pancuran air,” ulasnya yang juga Ahli JKKK Taman Perda.

Tambah Safar, sungguhpun ada dalam kalangan kanak-kanak terlibat ketakutan dan menangis, namun, kesemua mereka berjaya dikhatankan Ustaz Mohammad Rizal dari Pantai Cicar, Kuala Kedah.