AirAsia terbang terus ke Pulau Pinang dari Bali mulai 20 Oktober

Admin

GEORGE TOWN – Syarikat penerbangan AirAsia akan terbang ke Pulau Pinang dengan penerbangan terus dari Denpasar, Bali mulai 20 Oktober 2022.

 

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa laluan baharu tersebut adalah hasil Memorandum Kerjasama antara Penang Global Tourism (PGT) dan AirAsia pada Ogos lalu.

YEOH Soon Hin (duduk, kiri) dan Liyana Mahizzan (duduk, kanan) pada sidang media di Komtar.

Penerbangan terus ini merupakan laluan antarabangsa ketujuh ke Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan tersebut.

 

“(Dan) bakal membuka banyak peluang untuk memperkenalkan Pulau Pinang bukan sahaja kepada pelancong dari Bali tetapi juga pelancong serantau,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 12 Oktober 2022.

 

Hadir sama, Konsul Jenderal Republik Indonesia ke Pulau Pinang, Bambang Suharto dan Ketua Pegawai Eksekutif PGT, Ooi Chok Yan.

 

Mengulas lanjut, Soon Hin memaklumkan bahawa, termasuk AirAsia, terdapat 518 penerbangan yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang setiap minggu, sama ada domestik mahupun penerbangan antarabangsa.

 

Saya yakin dengan penambahan laluan baharu ini, ia akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi melalui pelancongan di samping menambah peluang pekerjaan dalam sektor berkaitan.

 

“Pada masa sama, saya juga berhasrat untuk mewujudkan laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Australia memandangkan warganegara Australia merupakan yang kelima teramai di Pulau Pinang, sebelum pandemik.

 

“Justeru, daripada penerbangan sambungan dan bertukar penerbangan untuk datang ke Pulau Pinang, kita perlu mengalu-alukan mereka kembali dengan penerbangan terus,” jelasnya.

 

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Liyana Mahizzan yang turut hadir dalam sidang media tersebut berkata, bagi meraikan pelancaran laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang istimewa daripada RM159 bagi perjalanan sehala mulai 12 Oktober sehingga 16 Oktober 2022 untuk tempoh perjalanan antara 20 Oktober 2022 dan 25 Mac 2023.

 

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menambah kekerapan penerbangan AirAsia ke Pulau Pinang dan menjadikan negeri ini sebagai hab kedua terbesar (AirAsia) dalam negara.

 

“Laluan baharu tersebut bukan sahaja bakal melancarkan perjalanan penumpang kami, malah akan meningkatkan kemasukan pelancong serantau sekali gus menjana ekonomi tempatan di kedua-dua buah destinasi.

 

“Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kami (AirAsia) dan sebagai pemain utama dengan bahagian pasaran sebanyak 50 peratus, kami akan terus mengembangkan perkhidmatan ke negeri ini pada masa hadapan,” katanya.

 

JADUAL penerbangan antara Pulau Pinang dan Bali (Denpasar).

Sebagai rekod, AirAsia kini mengendalikan 156 penerbangan mingguan melalui sembilan laluan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (49 kali seminggu); Johor Bahru (28 kali seminggu); Kota Kinabalu (14 kali seminggu); Langkawi (21 kali seminggu); Singapura (21 kali seminggu); Ho Chi Minh (4 kali seminggu); Jakarta (3 kali seminggu) dan Bali (2 kali seminggu).

 

Untuk maklumat lanjut, perkembangan terkini dan menempah penerbangan, layari laman web rasmi AirAsia atau melalui Instagram (@flyairasia); Twitter (@airasia) dan WeChat / Weibo (@airasia).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN