Ais Tingkap, jenama Pulau Pinang ke persada antarabangsa

GEORGE TOWN – Nampak seperti air sirap selasih biasa yang ditambah dengan isi kelapa, tetapi rasanya cukup luar biasa dan tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di negeri ini sejak 100 tahun lalu.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Ais Tingkap atau ‘Window Sherbet‘ merupakan salah satu minuman ais parut campuran istimewa yang hanya boleh didapati di Pulau Pinang.

 

 

“Saya dimaklumkan bahawa Ais Tingkap ini telah menempa nama dalam pelbagai liputan media antaranya termasuklah Time Out : Penang’s 50 Things To Do In Penang pada tahun 2017; Penang Foodie; HungryGoWhere : Penang Road Food Trails 2013; Fried Chillies dan Smarter Travel (syarikat informasi pelancongan) dari Amerika Syarikat.

 

 

PERNIAGAAN Ais Tingkap diusahakan secara turun-temurun sejak 1 September 1919.

“Dengan resipi turun-temurun sejak 100 tahun lalu, saya percaya perniagaan ini telah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun sejak 1919 sehingga kini serta masih teguh dan rancak menjalankan perniagaan oleh generasi kelima keluarga ini.

 

 

“(Dan) kehadiran saya pada hari ini adalah sebagai sebahagian tanda sokongan dan dokongan daripada Kerajaan Negeri kepada para usahawan khasnya kepada usahawan muda yang berhasrat memulakan perniagaan.

 

 

“Sebagai makluman, Kerajaan Negeri mempunyai beberapa inisiatif seperti Skim Pinjaman Harapan (SPH) sebagai galakan agar lebih ramai lagi individu tampil berani untuk menerokai sektor ini (pengusaha makanan dan minuman) sekaligus merancakkan dan mempelbagaikan lagi sektor ekonomi dan pelancongan di Pulau Pinang selaras dengan Visi Penang2030,” ucapnya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Ais Tingkap di Lebuh Tamil dekat sini petang ini.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Penasihat Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Datuk Mejar Abdul Latif; Pengusaha Ais Tingkap, Mohd. Asri Seeni Mohamed serta beberapa pimpinan tempatan.

 

ANTARA pengunjung luar yang datang menikmati keenakan ais tingkap.

Ketika ditemui media, Kon Yeow berharap agar perniagaan Ais Tingkap dapat meneruskan legasi perniagaan mereka untuk 100 tahun lagi.

 

 

Baginya, tidak banyak perniagaan yang mampu bertahan sehingga 100 tahun kerana rakyat Pulau Pinang sendiri telah meletakkan suatu standard sebagai jaminan kepuasan dalam menikmati kepelbagaian makanan dan minuman tempatan yang ada di negeri ini.

 

 

“Apabila kita mempunyai sesuatu jenama yang baik, maka ia memberikan keyakinan untuk melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan makanan serta minuman tempatan di pasaran luar selain Pulau Pinang termasuk di peringkat antarabangsa.

 

 

“(Oleh) sebab itulah, George Town mendapat nama sebagai ‘Food Capital of the World’ yang mana kebanyakan pelawat yang datang (ke negeri ini) adalah kerana kepelbagaian makanan dan minuman yang ada di sini.

 

 

“Jadi saya berharap, perniagaan ais tingkap ini dapat berkembang maju dan terus bertahan untuk 100 tahun lagi,” katanya yang turut menyokong rancangan pengusaha Ais Tingkap ini untuk membuka cawangan di tempat lain.

 

 

Difahamkan, bagi 1,000 pelanggan terawal yang berkunjung ke gerai mereka pada hari ini, berpeluang menikmati air unik berkenaan secara percuma sebagai penghargaan atas sokongan yang tidak putus-putus.

 

 

SALAH seorang pengunjung teruja apabila menerima ais tingkap daripada Ketua Menteri.

Dalam majlis sama, Kon Yeow berkesempatan menunjukkan bakat menyediakan air sarbat istimewa berkaitan serta menyempurnakan upacara memotong kek dan melepaskan belon ke udara.

 

 

Menggunakan campuran bahan seperti biji selasih, akar sarbat, kembang semangkuk, getah anggur, air dan isi kelapa serta ramuan rahsia, Ais Tingkap turut mempunyai penggemar dari luar negara.

 

 

Terletak bersebelahan Pasar Chowrasta, perniagaan keluarga secara turun temurun tersebut bermula dengan menjual air sarbat campuran istimewa melalui tingkap sehingga tahun 2011.

 

 

GAMBAR nostalgia yang dikongsi oleh pengusaha menunjukkan suasana di gerai Ais Tingkap pada 1981.

Walaupun jualan dari tingkap sudah tiada, namun namanya dikekalkan sebagai ‘Ais Tingkap’ sehingga kini.

 

 

Dijual pada harga RM2.50 ke RM3.00, ais tingkap sedap dinikmati untuk menghilangkan dahaga dan menyejukkan badan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING 
Video : ALVIE CHENG