TYT lahir rasa bangga ekonomi negeri kian kukuh

GEORGE TOWN – Yang diPertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas melahirkan rasa bangga dengan pencapaian tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri hari ini, yang dikatakan mendahului negeri-negeri lain.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada upacara pembukaan Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13, 10 Mei lalu.

“Saya berbangga dengan pencapaian yang memberangsangkan sebagaimana dimaklumkan semasa exit conference Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tahun 2015 dan Laporan Ketua Audit Negara,” katanya dalam dewan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Dalam ucapan selama kira-kira 45 minit itu, Abdul Rahman turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mengekalkan pencapaian sebagai negeri pertama yang mengemukakan penyata kewangan selama lapan tahun berturut-turut.

Beliau turut menyentuh mengenai rekod kewangan Kerajaan Negeri yang kukuh sehingga membolehkan pengecualian cukai pintu bagi tahun 2016 kepada semua penghuni rumah kos rendah, rumah (kos) sederhana rendah dan rumah kampung.

“Di mana cukai (pintu) yang dipungut oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menanggung kos sebanyak RM12.5 juta.

“Tambahan pula, Kerajaan Negeri mengarahkan MBPP dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) untuk membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi pihak rakyat yang menelan belanja RM20 juta lagi,” ujarnya.

Tambah beliau, kekukuhan tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri antaranya dilihat pada jumlah hutang terkumpul Kerajaan Negeri sebanyak RM69.47 juta pada akhir tahun kewangan 2015 adalah paling rendah, berbanding RM16.8 bilion jumlah keseluruhan hutang negeri-negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Abdul Rahman dalam pada itu turut memuji keupayaan Kerajaan Negeri hari ini kerana mengelak untuk memohon pinjaman dana daripada Kerajaan Persekutuan, sekaligus membuktikan kejayaan formula tadbir urus kewangan negeri berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus atau CAT.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri memastikan tiada langkah catuan bekalan air sepanjang musim ‘Super El Nino’, kini.

Sebelum berucap pada awal pagi hari tersebut, Abdul Rahman ditemani isteri, Toh Puan Majimor Shariff berkenan memeriksa kawalan kehormat Unit 3 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), yang diketuai Deputi Supritendan Mohd. Faizol Che Romly sambil diiringi kumpulan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Kedah.

Manakala di khemah utama, kelihatan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama-sama isteri, Betty Chew Gek Cheng.

Ketibaan Abdul Rahman di khemah utama turut disambut oleh Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan isteri, Datin Seri Hamidah Mat Daud.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Ketiga Belas berlangsung selama lima hari iaitu bermula pada 13 Mei dan bersambung semula 16 -19 Mei 2016.

}