Akta A1773: MBSP, MBPP sedia mekanisme penguatkuasaan dalam enam bulan

Admin
707f0d1a eca0 45f1 a515 1dff798c98f7 JASON H’ng Mooi Lye (depan, kanan) memberi respons isu berkaitan dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri (depan, kiri) di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 2 Januari 2026.

SEBERANG JAYA – Bermula 1 Januari 2026, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diberi tempoh enam bulan bagi menyediakan mekanisme pelaksanaan, termasuk langkah penguatkuasaan wajib, berkaitan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 [Akta A1773].

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian selepas menyaksikan seramai 24 Ahli Majlis MBSP bagi tahun pelantikan 2026 mengangkat sumpah penerimaan jawatan masing-masing di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, serta Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid.

“Kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan) diminta menubuhkan satu jawatankuasa bertindak supaya Pihak Berkuasa Negeri dapat meneliti dan mengkaji mekanisme, kaedah serta tatacara pelaksanaan, termasuk proses pengeluaran saman dan tindakan penguatkuasaan lain,” katanya kepada Buletin Mutiara di Menara Bandaraya MBSP di sini, hari ini.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Mesyuarat Exco yang bersidang pada 17 Disember 2025 telah meluluskan cadangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung tarikh penguatkuasaan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 [Akta A1773], khususnya berkaitan Perintah Khidmat Masyarakat, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Walau bagaimanapun, kedua-dua PBT dimohon melaksanakan penguatkuasaan secara berfasa selama enam bulan bermula 1 Januari 2026 bagi memantapkan gerak kerja melibatkan pelbagai jabatan dan agensi, di samping memberi ruang kesedaran kepada orang awam,” jelasnya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SIEW CHIA EN