Akta Pengurusan Strata 2013 kuatkuasa 12 Jun di P. Pinang

GEORGE TOWN – Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang dikuatkuasakan di seluruh negara pada 1 Jun lepas, mula dilaksanakan di Pulau Pinang 12 hari selepas itu setelah memperoleh kelulusan pihak berkuasa Negeri ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menjelaskan akta baru itu diperkenalkan bagi menggantikan Akta 663 atau Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2007.

Akta baru itu, menurut Jagdeep, akan membolehkan kedua-dua tuan tanah serta penyewa dibawa ke mahkamah, berbanding akta lama yang hanya membenarkan tindakan ke atas tuan tanah sahaja.

“Akta ini diwartakan pada tahun 2013 lagi, tetapi masih menunggu sokongan (kelulusan) daripada semua (Pihak Berkuasa) Negeri.

“Akta ini akan memperkemas (proses) pengeluaran hak milik strata dan menjadikannya lebih cepat untuk pemilik mendapatkan ia daripada pemaju perumahan,” jelasnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Selain itu, Jagdeep memberitahu, akta baru tersebut juga membolehkan pemaju perumahan dikenakan penalti yang tinggi jika tidak mematuhi undang-undang berwajib.

“Ini, akan meletakkan para pemaju perumahan (supaya) lebih tanggungjawab untuk bangunan berstrata serta memastikan pengurusan hartanah strata yang lebih bertanggungjawab,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Sebelum itu, Guan Eng menjelaskan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini turut memutuskan untuk memberi sokongan kepada inisiatif Kerajaan Pusat supaya tiada lagi halangan berbangkit terhadap permohonan hak milik strata di negeri ini.

“Pada masa sama, kami (Kerajaan Negeri) mengambil keputusan untuk menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dengan menyokong Akta Pengurusan Strata 2013, yang telah diluluskan oleh (Mesyuarat) Exco Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna, Pulau Pinang akan menjadi sebahagian daripada negara (yang menguatkuasa) akta yang baru,” kata Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Tambah Guan Eng, sokongan itu penting kerana kira-kira 60 peratus daripada kediaman di pulau ini merupakan unit rumah berstrata.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik membangkitkan rancangan perwataan dan penguatkuasaan akta tersebut di Pulau Pinang.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam jawapan lisannya di Dewan Rakyat memberitahu bahawa perwartaan khusus di negeri ini dikuatkuasakan mulai 12 Jun ini.

Akta 757 ini, katanya, adalah demi memastikan keseragaman undang-undang dan dasar berkenaan kerajaan tempatan dilaksanakan di semua negeri.

“Akta 757 ini juga digubal bagi memenuhi keperluan pembeli, pemilik, pihak pengurusan serta pihak-pihak yang berkepentingan, di samping mengatasi kelemahan-kelemahan dalam pengurusan pemajuan berstrata,” kata Abdul Rahman.