Aktiviti di Pasar Awam Air Itam lebih terkawal

Admin

AIR ITAM – Aktiviti di Pasar Awam Air Itam dan kawasan sekitar dilihat terkawal menerusi tinjauan Buletin Mutiara yang dilakukan pada jam 7pagi ini.

Tinjauan dan lawatan ke pasar tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama-sama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Hari ini kita mengawal laluan masuk dengan membuka dua pintu masuk dan satu pintu keluar berbanding sembilan pintu kesemuanya.

“Ini akan lebih memudahkan dari segi kawalan jumlah orang ramai yang keluar masuk ke dalam pasar ini dan menjadikannya kurang sesak selaras dengan social distancing (jarak sosial) yang diarahkan.

“Pihak MBPP dan polis akan mengawal pintu-pintu utama kerana ini pasar lama dan pengudaraan juga tidak begitu baik jadi amatlah perlu untuk mengawal kemasukan pengunjung pada satu-satu masa,” ujar beliau kepada pemberita pagi tadi.

Jelasnya, kesesakan yang sering berlaku di pasar tersebut ekorang daripada tiga kawasan yang berkongsi satu pasar awam sahaja.

“Pengunjung di sini terdiri daripada tiga kawasan iaitu Farlim, Air Itam dan Paya Terubong.

“Sekiranya dikira daripada jumlah pengundi Air Itam 18,000, Paya Terubong anggaran 35,000 jadi keseluruhan sudah lebih 50,000 orang.

“Jadi saya juga berharap pada masa akan datang pihak Majlis dapat mempertimbangkan cadangan untuk membina sebuah lagi pasar awam,” tambah Soon Siang lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALVIE CHENG