Aktiviti sukan selepas waktu kerja mampu tingkatkan kecergasan – Exco

GEORGE TOWN – Buat pertama kalinya, program kejohanan badminton pentadbiran kerajaan negeri diadakan bertempat di Akademi Badminton Pulau Pinang.

Program tersebut dalah anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau bersama pejabat Exco Belia dan Sukan.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, beliau percaya bahawa aktiviti sukan yang dilakukan selepas waktu kerja mampu meningkatkan semangat serta kecergasan para pekerja lebih-lebih lagi selepas mereka menghadapi tekanan di pejabat.

“Program yang diadakankan ini bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan, malah sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara kakitangan kerajaan.

“Oleh itu, diharapkan agar program ini dapat diteruskan setiap tahun dengan melibatkan semua kakitangan awam agar dapat mengukuhkan lagi semangat bersukan,” ujaranya ketika merasmikan program berkenaan 17 November lalu.

Difahamkan, sebanyak 25 pasangan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut termasuk kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan ramai lagi.

Pada penganjuran kali ini, pasangan beregu dari Jabatan Kesihatan Negeri dinobatkan sebagai juara sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM400, medal dan piala pusingan manakala naib johan pula dimenangi oleh USM yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300 berserta medal.

Berkongsi tempat ketiga adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Perpustakaan Awam Pulau Pinang yang mana masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM100 berserta medal.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI