Aktiviti tanam pokok ‘Go Green With Pallas’ diharap beri manfaat kepada pelajar

Admin

BAGAN JERMAL – Aktiviti penanaman pokok melalui program ‘Go Green With Pallas’ diharap mampu memberikan manfaat kepada para pelajar khususnya dalam menyemai perasaan cintakan alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan program penanaman pokok sebagai salah satu inisiatif dalam merealisasikan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri sihat, bersih, hijau dan selamat.

“Sebagai ADUN, saya mahu laksanakan pelbagai inisiatif hijau terutamanya program pengasingan sisa di punca.

“Program ini perlu diterapkan dalam diri murid-murid dan saya berpendapat bahawa tempat yang paling sesuai untuk menanam minat terhadap pengasingan sisa dan mencintai alam sekitar harus bermula dari sekolah.

“Oleh itu, diharapkan program penanaman pokok yang dijalankan hari ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar secara keseluruhannya,” kata beliau yang juga Exco Belia dan Sukan ketika berucap pada program berkaitan dekat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa Butterworth, di sini pada 20 Oktober lalu.

Soon Lip Chee merasmikan program ‘Go Green With Pallas’ dekat SJKC Kwang Hwa.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong; Presiden Lembaga Pengelola SJKC Kwang Hwa, Ang Ah Hock; Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Liou Hong Hung; Ketua Eksekutif Kumpulan Pallas, Ho Kok Loon serta para pelajar.

Pada program tersebut, sebanyak 20 batang pokok jenis Bucida berharga RM3,000 disumbangkan oleh Kumpulan Pallas dan ditanam di sekitar kawasan sekolah.

Sementara itu, Pengetua SJKC Kwang Hwa, Dr. Chan Seow Hong berkata, program penanaman pokok berkenaan merupakan aktiviti yang amat bermakna bukan sahaja kepada pihak sekolah malah untuk didik murid sejak di bangku sekolah agar mereka mencintai alam sekitar.

“Pihak sekolah berusaha untuk mengadakan pelbagai aktiviti hijau seperti program kitar semula dan lain-lain sebagai titik pemulaan menuju ke arah mencintai bumi kita.

“Justeru, saya merayu kepada semua pihak agar memberi sokongan sebagai setitik usaha dan inisiatif bagi menjayakan program-program yang kami (pihak sekolah) rancangkan,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI