BUKIT TENGAH – Amalan pemakanan sihat perlu dijadikan budaya hidup serta diterapkan dalam sanubari kanak-kanak seawal peringkat prasekolah bagi melahirkan generasi yang cergas dan produktif.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik menegaskan bahawa didikan awal merupakan kunci utama dalam membendung kecenderungan kanak-kanak terhadap tabiat pemakanan yang memudaratkan.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun berkata bahawa ibu bapa memikul amanah besar untuk memastikan anak-anak tidak ‘ketagih’ kepada makanan yang diproses secara berlebihan.
“Kesihatan bukan matlamat akhir, tetapi satu perjalanan yang mesti dimulakan sejak kecil.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan membiarkan anak-anak terus dimanjakan dengan makanan tinggi gula, garam, mahupun produk yang sarat dengan bahan pengawet dan pewarna tiruan.
“Melentur buluh biarlah dari rebungnya, justeru, inilah masanya untuk kita mendidik dan membentuk selera mereka ke arah pilihan yang lebih semula jadi dan berkhasiat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Sei Rambai Fasa IV, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Rohai Zahar Nedi turut berucap dalam majlis tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan agar kolaborasi strategik antara Jabatan Perpaduan dan Jabatan Kesihatan diperkasa secara menyeluruh di seluruh negeri bagi memastikan program pemakanan sihat berjaya diterapkan kepada kumpulan sasar, iaitu kanak-kanak sejak peringkat prasekolah.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa inisiatif Jabatan Perpaduan Negara Negeri Pulau Pinang menganjurkan acara ‘Bento Sihat Malaysia’ peringkat tempatan di sini sejak awal pagi tadi merupakan medan terbaik untuk memulakan revolusi pemakanan sihat sebelum diperluaskan ke peringkat komuniti yang lebih luas.
Selain memberi fokus kepada aspek nutrisi, Choon Aik menyifatkan program tersebut sebagai jambatan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang melalui aktiviti sihat.
“Apabila kita bercakap mengenai menu sihat, ia sebenarnya melangkaui soal makanan; sebaliknya ia berkaitan dengan kesejahteraan komuniti.
“Masyarakat yang sihat ialah masyarakat yang harmoni, akhirnya, segalanya akan berbalik kepada nilai perpaduan kerana dalam komuniti yang kuat, kita saling menjaga kebajikan dan kesihatan antara satu sama lain,” tambah beliau.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa Program Generasi Cilik Menu Sihat Perpaduan dianjurkan secara serentak di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, kecuali Daerah Timur Laut yang akan melaksanakan program sama esok, dengan tujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat mengenai penyediaan menu sihat dan berkhasiat.
Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sahaja, sebanyak 18 Tadika Perpaduan menyertai program di Gelanggang Bola Keranjang, Taman Sei Rambai Fasa IV di sini, manakala 18 Tadika Perpaduan lain menyertai acara sama secara serentak di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sejahtera.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN