Ambil iktibar PKP, kuasai pemasaran digital – Exco

BAYAN LEPAS – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain mengingatkan para peniaga terutamanya yang berasaskan makanan dan minuman mengambil iktibar kesan pandemik COVID-19.

 

 

Jelasnya, ekoran pandemik tersebut banyak peniaga terjejas akibat larangan makan di dalam premis.

 

 

“Para peniaga perlu ambil pengajaran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sebelum ini yang banyak menjejaskan peniagaan melibatkan ‘dine in’.

 

 

“Mereka wajib menguasai ilmu pemasaran dalam talian serta menggunakan media sosial dan menyediakan khidmat penghantar secara persendirian mahupun  guna syarikat dari luar,” ujar Abdul Halim ketika berucap pada Majlis Perasmian Restoran De Lamb Cuisine di Setia Triangle Bayan Lepas semalam.

 

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas; Azrul Mahathir Aziz; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dan ADUN Pulau Betong; Mohd. Tuah Ismail dan pemilik De Lamb Cuisine; Siti Salasiah Md. Ariffin.

 

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim turut mengingatkan  para peniaga terjejas akibat PKP untuk memohon pembiayaan Kerajaan Negeri iaitu PEKA PKS 3.0 hingga 20 Oktober ini yang menawarkan pinjaman RM5,000 hingga RM20,000 tanpa faedah bersama moratorium enam bulan.

 

 

“Dalam pada itu saya difahamkan juga beberapa penganjur pasar malam di negeri ini sudah bersedia untuk beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menghidupkan semula ekonomi penjaja kecil ini,” tambahnya yang juga ADUN Batu Maung.

 

 

 

Salasiah yang pernah bekerja dalam bidang akaun di Kuala Lumpur memilih Pulau Pinang sebagai lokasi memulakan perniagaan kerana melihat peluang besar di sini.

 

 

“Pulau Pinang juga sebuah bandar besar dan ini sebagai peluang perniagaan, tambahan di Bayan Lepas adalah kawasan perindustrian,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.

 

Antara menu utama di sini termasuklah masakan berasaskan kambing seperti sup, lamb chop dan menu tambahan masakan berasaskan makanan laut termasuk udang kara.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI