Ambil kira nilai ambang setiap negeri tentukan peralihan Fasa 2 – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menggunakan strategi pencapaian nilai ambang di setiap negeri bagi memutuskan peralihan Fasa 2 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa persetujuan tersebut dicapai menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pulau yang diadakan pada pagi tadi.

“Pandangan ini adalah berasaskan populasi di setiap negeri dalam menentukan nilai ambang kes-kes jangkitan COVID-19, dan bukannya berpandukan bilangan jangkitan pada kadar kebangsaan sebagaimana kini.

“Ini kerana, setiap negeri mempunyai kadar jangkitan kes berbeza-beza yang mana memerlukan pertimbangan khusus dalam menentukan strategi lanjut untuk dilaksanakan.

“Walau bagaimanapun, bagi negeri-negeri yang berjaya beralih ke Fasa 2 semestinya masih perlu meningkatkan penguatkuasaan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk bergerak ke fasa-fasa seterusnya,” katanya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi laman Facebook beliau di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri bersama-sama Jagdeep Singh Deo menunjukkan poster program PSC-19.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa peralihan bagi setiap Fasa dalam PPN tidak tertakluk kepada satu-satu tarikh semata-mata, sebaliknya ia bergantung kepada tiga indikator nilai ambang utama yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

Tiga indikator tersebut ialah purata kes harian COVID-19, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap. Sekiranya ketiga-tiga indikator itu berjaya dipenuhi, maka ia akan beralih ke fasa seterusnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan menerima 591,532 dos vaksin pada Julai ini di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut beliau, penghantaran tersebut akan dibuat secara berperingkat iaitu 131,255 dos pada minggu pertama; minggu kedua (136,506); minggu ketiga (130,150) dan minggu keempat (193,621).

“Kerajaan Negeri akan merancang dengan rapi supaya rakyat Pulau Pinang dapat memperoleh suntikan vaksin demi mencapai tiga matlamat iaitu seramai 10 peratus populasi disuntik untuk kedua-dua dos vaksin.

“Kedua ialah untuk memberi suntikan vaksin kepada semua yang berdaftar membabitkan kategori warga emas 60 tahun ke atas serta kes morbiditi manakala ketiga adalah memulakan pemberian vaksin kepada yang berdaftar bagi kategori 60 tahun ke bawah,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa program saringan massa dalam komuniti secara bersasar di negeri ini akan bermula pada 5 Julai 2021 bertempat di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Tambahnya, program yang dijalankan di bawah Penang Saring COVID-19 (PSC-19) itu adalah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri menggunakan kaedah RTK-Antigen.

“Pada peringkat permulaan, program ini akan membabitkan empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) iaitu Sungai Pinang, Padang Kota, Datok Keramat dan Pulau Tikus.

“Ia kemudian akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut senarai serta ketetapan yang diumumkan dalam tempoh masa sebulan.

“Justeru, satu aplikasi yang dikenali sebagai penangsaring.selangkah.my sedang dibangunkan bagi memudahkan rakyat Pulau Pinang membuat pendaftaran selain berurusan dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing,” jelas Kon Yeow.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video Langsung : AHMAD ADIL MUHAMAD