Ambil pengajaran daripada insiden kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung – Exco

GEORGE TOWN – Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung kini dalam keadaan terkawal dengan kira-kira 99 peratus daripada kawasan terlibat telah berjaya dipadam selepas 20 hari operasi dijalankan sehingga semalam.

Justeru, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh berkata insiden tersebut wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak agar kejadian seumpamanya tidak berulang pada masa akan datang.

Phee Boon Poh.

Beliau berkata, sikap saling menuding jari tidak membantu menyelesaikan masalah kerana semua pihak termasuk Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab bersama dalam menangani insiden tersebut.

“Kita tidak sepatutnya menuding jari kepada sesiapa kerana apa yang penting sekarang ialah usaha yang perlu dilaksanakan untuk mengelakkan kejadian sama daripada berulang kembali.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pengendalian proses pengurusan sisa oleh pihak konsesi, PLB Terang Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang menguruskan tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melihat kemungkinan tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat terbabit termasuk menamatkan perjanjian konsesi.

“Malah, kita juga mahu memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dilaksanakan di tapak pelupusan sampah pada masa akan datang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi pagi tadi.

Boon Poh dalam pada itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung.

“Ini termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM), MBSP, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) kerana kerana telah memainkan peranan masing-masing.

“Dengan perancangan rapi Kerajaan Negeri dan dibantu kepakaran pihak JBPM, pemantauan oleh pihak Pejabat Daerah SPS serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan membolehkan api berjaya dipadam dalam masa yang ditetapkan,” ujarnya lagi.

Boon Poh juga memaklumkan bahawa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan sekitar tapak pelupusan sampah Pulau Burung setakat hari ini menunjukkan bacaan sederhana iaitu 76.

“Walau bagaimanapun, semua penduduk yang telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebelum ini masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Kakitangan MBSP dan MBPP masih giat melakukan kerja-kerja pemadaman di kawasan berasap.

Terdahulu, tapak pelupusan sampah Pulau Burung dekat Jalan Byram yang berkeluasan 6.5 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang pada 12 Januari lalu.

Ekoran daripada itu, kira-kira 400 orang daripada hampir 90 keluarga yang tinggal berdekatan tapak tersebut terpaksa dipindahkan manakala 10 buah sekolah turut diarahkan tutup selama tiga hari bermula 19 Januari 2022.

Operasi pemadaman sebelum ini turut dilakukan menggunakan kaedah pengeboman air menggunakan dua buah helikopter dengan bantuan Unit Udara JBPM Subang dan Pulau Pinang.

Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga menyalurkan bantuan kewangan khas berjumlah RM1,000 masing-masing kepada setiap isi rumah yang terjejas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengumumkan perkara itu berkata bahawa bantuan khas tersebut akan disalurkan kepada kesemua 90 keluarga dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang telah diarahkan berpindah ke PPS sebelum ini.

H’ng Mooi Lye.

Sementara itu, ADUN Jawi, H’ng Mooi Lye berkata bahawa pihak MBSP dan syarikat konsesi masih berada di kawasan kebakaran untuk melakukan pemantauan secara berterusan selama 24 jam.

Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman api masih lagi dijalankan oleh pihak konsesi, MBSP serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terutamanya di sektor empat dan lima melibatkan 45 orang tenaga kerja menggunakan 33 unit jentera.

“Selain itu, kerja-kerja tambakan tanah merah untuk membina pemecah api oleh syarikat konsesi masih diteruskan di sektor tiga dan empat menggunakan simpanan stok di tapak pelupusan.

“Manakala di sektor satu dan dua pula kerja-kerja pemadaman di kawasan yang masih berasap giat dijalankan oleh MBSP dan MBPP menggunakan tangka air selain kerja-kerja pengorekan tanah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk penutupan kawasan yang telah berjaya dipadam,” ujarnya lagi.

Susulan keadaan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung yang kini dalam keadaan terkawal, JBPM memaklumkan bahawa pihaknya telah menamatkan misi memadamkan kebakaran pada 2 Februari lalu.

Misi ditamatkan susulan pihak JBPM berjaya memadamkan api kebakaran sepenuhnya pada hari ke-20 selepas kejadian.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS