Anak-anak istimewa Parlimen Balik Pulau nikmati durian premium

Admin

TELUK BAHANG – Sempena musim durian yang masih berlarutan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengambil berkesempatan dengan menyantuni kira-kira 100 orang anak-anak dan golongan istimewa di kawasan tersebut.

 

 

Jelasnya, jika sebelum ini durian kerap kali dinikmati oleh insan normal sahaja, beliau cuba mencari kelainan dengan menyediakan hidangan tersebut kepada golongan terpilih berkenaan.

 

 

“Selalunya orang-orang biasa sahaja yang gemarkan durian ini, (namun pada) kali ini saya ambil peluang untuk santuni juga anak-anak istimewa untuk sama-sama nikmati keenakan ‘raja buah’ di Balik Pulau ini.

 

“Durian yang dihidangkan hari ini juga berkualiti premium, saya pun sempat bertanya kepada penjaga sama ada mereka ini boleh menikmati durian atau tidak bimbang kalau ada masalah kesihatan selepas itu atau tidak.

 

“Tujuannya juga tidak lain tidak bukan, mahu meraikan mereka, jumpa kawan-kawan yang penting mereka bergembira hari ini” ujar beliau pada Majlis Durian Party Anak-anak Istimewa di 2 Acers, Sungai Pinang, Balik Pulau semalam.

Golongan terpilih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang, PPDK Sungai Batu dan Pusat Harapan Bakti Permatang Tepi merupakan antara yang hadir dalam majlis tersebut.

 

Majlis turut diserikan dengan persembahan buskers, persembahan spontan duo Boria Omara dan badut.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : IDZHAM AHMAD