Anjur bengkel, 25 pelajar diberi pendedahan kemahiran robotik

Admin
BAGAN DALAM – Teknologi robotik semakin diminati dan menjadi keperluan apabila seramai 25 pelajar sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam diberi peluang mengikuti Bengkel Robotik baru-baru ini.
Bengkel yang berlangsung selama lapan hari tersebut, memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran berkaitan robotik di bawah bimbingan instruktor berpengalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees berkata, bengkel  tersebut dianjurkan sebagai usaha pihaknya menyediakan pelajar dengan ilmu coding dan robotik sejajar dengan era Artificial Intelligent (AI) kini.
“Ini adalah salah satu manifesto yang telah saya janjikan, di mana dalam janji tersebut saya bersetuju untuk menaja 50 orang pelajar sekolah rendah setiap tahun untuk mengikuti bengkel robotik.
“Memandangkan ia memerlukan kos yang agak tinggi untuk melaksanakannya, maka tahun depan kita akan memberikan keutamaan kepada mereka yang belum berpeluang mengikuti kelas tahun ini,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar penganjuran tahun hadapan mendapat sambutan sama rata di antara semua kaum dan juga pelajar perempuan.
Menurut Satees, terdapat permintaan dari pelajar peringkat menengah dan juga luar kawasan Butterworth yang berminat dengan bengkel berkenaan.
“Ada yang suruh saya buat luar dari kawasan Butterworth dan juga ada pelajar sekolah menengah pun turut berminat untuk serta.
“Di sini kita dapat lihat pelajar-pelajar kini lebih berfikiran ke hadapan dan diharap begitu juga dengan ibu bapa, sekiranya anak-anak anda minat dengan teknologi seperti ini, hantarlah mereka ke kelas-kelas yang berkaitan supaya mereka dapat meluaskan skop pembelajaran,” ujarnya.