Anjur MOVAK 2.0 demi mudahkan peniaga, penjaja divaksin – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo (paling kiri) dalam sidang media ringkas di Dewan Sri Pinang di sini pada pagi ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bersetuju untuk melaksanakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 selama empat hari bermula pada 9 hingga 12 September ini.

JAGDEEP Singh Deo

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa dua lokasi yang dicadangkan bagi program tersebut iaitu Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi, Butterworth dan Dewan Sri Pinang di sini.

Beliau berkata, kedu-dua pusat pemberian vaksin tersebut beroperasi 8:30 pagi hingga 5:00 petang.

Menurutnya lagi, dengan kapasiti harian 650 orang diberi suntikan vaksin, penganjuran MOVAK 2.0 selama empat hari menyasarkan penyertaan seramai 5,200 orang yang terdiri daripada penjaja dan peniaga.

“Setakat 6 September 2021, jumlah pendaftaran untuk program MOVAK adalah 17,340 peserta dan 11,000 telah divaksin pada minggu lepas.

“Kita berharap pada kali ini kita akan berjaya memastikan baki 6,340 penjaja divaksin,” jelasnya kepada pemberita pada sidang media dekat Dewan Sri Pinang di sini pada 7 September 2021.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang turut menyertai sidang media ringkas tersebut.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, tujuan pelaksanaan MOVAK 2.0 adalah bagi memudahkan para peniaga dan penjaja mendapatkan suntikan vaksin sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi negara.

Terdahulu, siri sulung MOVAK yang dianjurkan di peringkat negeri pada 30 Ogos hingga 2 September berjaya memastikan kira-kira 11,000 penjaja, peniaga dan pekerja sektor berkaitan divaksin.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING