Anugerah pengiktirafan kepimpinan NGO serta akademik

PANTAI JEREJAK – Pengerusi Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen KPM Abd. Kader hari ini menerima penganugerahan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) yang membawa gelaran Dato’ atas sumbangannya dalam tempoh lebih 18 tahun membabitkan program-program sosial serta kebajikan di negeri ini.

Beliau merupakan antara dua individu yang menerima penganugerahan tersebut pada hari kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-82 Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Haja Najmudeen ketika ditemui secara peribadinya menyatakan bahawa kerja-kerja sosial dan kebajikan yang dilakukan pihaknya melalui Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang sememangnya sudah sebati buat beliau serta ahli-ahli lain.

“Persatuan Liga Muslim Pulau Pinang sebenarnya merupakan ‘ibu persatuan’ kepada 25 persatuan lain di bawahnya, kita memang telah lama terlibat dalam kerja-kerja sosial, kebajikan dan sebagainya.

“Ruang untuk melakukan amal jariah ini kita fokuskan kepada masyarakat memerlukan bantuan, golongan kurang kemampuan dan fakir miskin, asnaf dan sebagainya.

“Dengan ruang serta peluang yang ada untuk membantu meringankan beban dan kesusahan golongan memerlukan telah memberikan satu kepuasan ketika melakukan kerja-kerja (kebajikan) sebegini.

“Justeru, penganugerahan hari ini akan mendorong saya untuk lebih berusaha semampu yang boleh bagi terus membantu komuniti memerlukan di Pulau Pinang khususnya,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Peniaga Muslim Pulau Pinang dan mantan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang sambil ditemani isteri, Datin Wan Zainab Abu Becker.

Majlis istiadat yang berlangsung di Setia SPICE Convention Centre bermula seawal jam 10.30 pagi dengan ketibaan Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff. Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri; Dato’ Law Choo Kiang (Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan isteri; Dato’ Abdul Razak Jaafar (Setiausaha Kerajaan Negeri) serta barisan Exco.

Difahamkan, seramai 53 individu hadir menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormat pada sesi terakhir sebentar tadi.

Sementara itu, Datuk Mahinder Singh Dulku yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pemuliharaan dan Membaik Pulih Wadda Gurdwara Sahib – Bangunan Warisan Kategori 1 menyifatkan bahawa penganugerahan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang diterima beliau merupakan simbolik penghargaan kepada kerja-kerja sosial yang dilakukannya.

“Terima kasih kepada TYT, Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri, tahniah kerana menganjurkan majlis istiadat dalam keadaan baik dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Telah lebih 39 tahun saya bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sosial dan serentak itu, saya juga berkhidmat sebagai Penguambela dan Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya sejak tahun 1973.

“Sejak mula berkhidmat, saya telah mula berjinak-jinak dengan kerja-kerja kemasyarakatan sosial hinggalah kini yang membolehkan saya memegang beberapa jawatan termasuk pengerusi jawatankuasa membina semula bangunan Sekolah Khalsa Dharmik, dan kini fokus juga adalah untuk mencari dana sebanyak RM5 juta bagi kerja-kerja pemulihan serta membaik pulih Wadda Gurdwara Sahib,” ulasnya.

Selain penghargaan kepada golongan pimpinan NGO yang banyak menabur jasa dan bakti, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga tidak melupakan tokoh pendidik yang merupakan tunjang bagi membentuk generasi kepimpinan masa hadapan.

Antara tokoh pendidik yang menerima penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N) ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Datuk Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd. Fozi Ali.

Siti Salbiah ketika ditemui berkata, penghargaan kepada tokoh-tokoh di sektor pendidikan sepertinya merupakan suatu penghargaan kerana pendidikan adalah tunjang kehidupan, malah institusi yang akan membentuk generasi akan datang.

“Di sinilah (institusi pendidikan) kita menjana golongan profesional, pemikir, pentadbir dan membentuk pemimpin masa hadapan.

“Saya bersyukur malahan rasa terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh TYT yang juga merupakan Canselor UNITEN, yang mana pada tahun 1996, saya bersama-sama untuk membangunkan UNITEN daripada bertaraf institut sehingga dinaik taraf kepada status universiti serta dikenali kini,” ulasnya.

Nada sama dikongsikan Mohd. Fozi yang menyatakan bahawa penghargaan yang diberikan bukan hanya pencapaian diri beliau sebaliknya juga kepada UiTM.

“Tugas yang agak berat dan mencabar untuk melaksanakan pembangunan institusi pendidikan yang sememangnya berskala besar dengan kapasiti 185,000 pelajar dan 18,000 kakitangan di seluruh Malaysia… infrastruktur serta fasiliti perlu berada di tahap terbaik bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaran, tetapi itulah tanggungjawab kami untuk melahirkan generasi yang bermutu untuk masa depan.

“Pada masa sama, kegiatan penyelidikan, inovasi serta jaringan inovasi perlu berkembang seiring,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN