Anugerah pingat kehormatan simbol pengiktirafan buat APM

SERAMAI tujuh anggota Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut tersenarai sebagai penerima anugerah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 di Dewan Sri Pinang, pada hari ketiga berlangsungnya majlis istiadat tersebut.

LEFTENAN (PA) Mohd. Azhari Mahmud diiringi isteri, Mahfuzah Othman.

Antara yang menerima Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M) pada pagi ini ialah Leftenan (PA) Mohd. Azhari Mahmud, 40, yang berseragam lengkap sambil ditemani isteri tercinta, Mahfuzah Othman, 40.Beliau memberitahu bahawa ini merupakan kali pertama beliau menerima pingat kehormatan daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

“Ini, kali pertama disenarai sebagai penerima pingat.

“Saya berasa begitu gembira dan dihargai, selepas berada dalam perkhidmatan kira-kira 14 tahun,” katanya kepada pemberita Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob pada 12 Mac 2021.

Mengaku sebagai anak kelahiran Pulau Pinang, beliau memberitahu, ada pelbagai pengalaman sebagai anggota APM.

“Selama 14 tahun ini, memang banyaklah terlibat dalam operasi di hutan, laut, di bukit dan sebagainya demi membantu komuniti semasa keadaan kecemasan ataupun bencana.

“Selama 14 tahun berkhidmat ini juga, saya pernah bertugas di tiga tempat iaitu ibu pejabat APM Negeri Pulau Pinang, Pejabat Unit APM Kepala Batas dan sekarang ini bertugas di Pejabat APM Daerah Seberang Perai Tengah,” ceritanya.

Lebih daripada itu, menurutnya lagi, sejak tahun 2018 APM dilantik sebagai sekretariat pengurusan bencana pada peringkat negeri dan daerah.

“Semasa pandemik COVID-19, saya ditugaskan sebagai penyelia Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah dekat PULAZA (Pusat Latihan Zakat, Balik Pulau).

“Paling mencabar adalah menjaga mereka yang dipindahkan dari “Zon Merah” Penjara Seberang Perai, Jawi, yang mana mereka dikuarantin selama 14 hari sebelum dibebaskan.

“Istimewanya, banduan yang diselia oleh APM di PULAZA semasa itu adalah wanita, jadi karenah mereka berbeza dengan lelaki.

“Jadi, walaupun pada petang ini ada beberapa orang sahaja anggota APM mendapat penganugerahan pingat, namun saya anggap ia adalah simbol penghargaan kepada keseluruhan khidmat APM semasa bencana di negeri ini,” jelasnya lagi.

LEFTENAN. (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli dengan diiringi isteri, Nur Syuhada Sharudin.

Seorang lagi penerima pingat, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli, 34, turut menyifatkan penerimaan anugerah pingat kehormatan daripada Yang Dipertua Negeri adalah sebagai simbol pengiktirafan APM dalam lapangan tugas kritikal di negeri ini.

“Selama 14 tahun dalam APM, ini kali pertama saya terima pingat, tetapi, di peringkat Jabatan sebelum ini saya pernah terima Pingat Am dan Pingat Bakti, kerana dalam APM memang ada penganugerahan pingat tersendiri.

“Selepas berkhidmat begitu lama, kemudian dipilih menerima pingat ini, saya dan isteri, Nur Syuhada Sharudin, (34) berasa terharu.

“Saya juga melihat penganugerahan pingat (P.J.M) ini sebagai lambang pengiktirafan Yang Dipertua Negeri sendiri terhadap fungsi APM dalam melaksanakankerja-kerja mendepani bencana,” jelas beliau.

Ditanya mengenai pengalaman paling mencabar sebagai anggota barisan hadapan APM, Muhammad Zul Izzi memberitahu bahawa paling mencabar adalah menangani bencana bah besar pada Disember 2017 di Pulau Pinang.

“Pengalaman menguruskan pusat kawalan, menurunkan bantuan ke lapangan dan sebagainya semasa itu, memang tidak dapat saya lupakan sehingga hari ini.

“Satu lagi pengalaman mencabar yang tidak dapat saya lupakan adalah saya berkhidmat di Pulau Pinang, tetapi ditempatkan di satu pusat kuarantin dekat Kuala Lumpur selama dua minggu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada tahun lepas (2020).

“Di Kuala Lumpur semasa itu, banyak dibuka pusat kuarantin di hotel-hotel tertentu, Alhamdulillah tak banyak karenah pihak di bawah selia saya, semasa itu saya ‘menjaga’ pelajar-pelajar dari negara Turki,” jelasnya lagi.

KOPERAL (PA) Khairul Ikhwan Boestamam dengan diiringi isteri, Siti Rahayu Hassan.

Tempoh 15 tahun dalam perkhidmatan, Koperal (PA) Khairul Ikhwan Boestamam, 37, juga menganggap penganugerahan PJM kepada dirinya sebagai simbol penghargaan serta penghargaan kepada ‘pasukan barisan hadapan’ APM.

“Antara pengalaman yang paling tak dapat dilupakan adalah terlibat dalam operasi menangani bencana banjir besar di Kemaman, Terengganu pada tahun 2013; selain itu pada tahun 2014 pula, 25 Disember kalau tidak salah iaitu hari pertama bencana banjir besar melanda Kelantan.

“Tempoh 15 tahun saya memang berkhidmat dalam APM Pulau Pinang, cuma pernah dihantar bertugas dalam operasi di Terengganu dan Kelantan, itu pengalaman yang tak dapat dilupakan.

“Jadi, saya bersyukur dengan rezeki dalam bentuk pingat (P.J.M) yang saya terima ini, saya berasa penganugerahan ini sebagai suatu penghargaan juga kepada pihak jabatan (APM).

“(Dan) dengan penghargaan dan pengiktirafan ini, sudah tentu akan memberi semangat kepada saya sendiri untuk meneruskan perjuangan dalam APM khusus di Pulau Pinang ini, juga Malaysia secara amnya,” katanya sambil merakamkan penghargaan atas sokongan moral yang diberikan oleh isteri tercinta, Siti Rahayu Hassan, 35.

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 yang berlangsung sejak 10 hingga 12 Mac 2021 melibatkan seramai 244 orang penerima.